BIARPUN baru menceburi industri muzik tempatan, Shalma Eliana mengambil keputusan drastik untuk menjenamakan semula nama pentasnya sebagai Yana.

Seiring dengan keputusannya itu, adik kepada pengacara, Shalma Ainaa ini tampil dengan buah tangan terbaharu, Your Loss.

Menurut Yana, 21, dia menganggap lagu itu sebagai permulaan kerjayanya dalam industri seni.

“Ini adalah permulaan yang baharu kerana lagu ini ditulis  100 peratus sepenuhnya oleh saya sendiri.

“Sebelum ini, saya tidak pernah yakin untuk berkongsi karya dengan pihak umum,” katanya jujur.

Tambah Yana, lagu itu ditulis di tempat yang paling murni iaitu di rumahnya.

“Bagi saya, Yana adalah diri saya yang sejati, sebab itu saya memilih untuk membawa nama Yana selepas ini,” jelasnya.

Yana menyifatkan single Your Loss sebagai permulaan memperkenalkan semula dirinya dalam industri seni.

Berkongsi penghasilan Your Loss, Yana berkata, lagu ini menceritakan tentang sesuatu yang dapat difahami oleh ramai orang iaitu pengkhianatan.

“Lagu ini mengingatkan semua pendengar bahawa pengkhianatan tidak seharusnya menjadi punca kegagalan dan kita tidak perlu berasa rugi jika ada yang gagal menghargai diri kita.

“Karya ini turut mengingatkan semua orang untuk menjadi versi terbaik diri masing-masing.  Kehidupan ini sebenarnya adalah satu proses pembelajaran.

Iklan

“Berbeza dengan karya-karyanya sebelum ini yang lebih menjurus kepada irama rancak dan tarian, Your Loss merupakan sebuah lagu balada pop yang sarat dengan mainan emosi.

“Alhamdulillah, proses menulis lagu ini berjalan dengan lancar. Saya masih ingat ketika saya pulang ke rumah dengan pelbagai emosi dan terus menulis lagu ini, kemudian menyanyikannya dengan serta-merta.

“Ada beberapa bait lirik yang saya tulis sewaktu pergi berkhemah. Ia lagu yang tak dijangka. Terjadi begitu sahaja,” ujarnya yang mengambil masa untuk merakam lagu ini dan dibantu oleh Izzy, Shae serta Imar sepanjang proses.

Iklan

Tambah Yana, tiada apa yang diharapkan selain pendengar menyukai dan memahami lagu ini seperti mana yang mahu disampaikan.

“Saya harap tiada lagi yang keseorangan selepas mendengar lagu ini,” ulasnya mengakhiri bicara.

Your Loss telah tersedia di semua platform penstriman digital bermula 26 November lalu, manakala video muziknya pula ditayangkan menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia.