JENAZAH pelakon Benjy akan disemadikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta Medan, Indonesia, pada Isnin.

Menurut Setiausaha Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, kematian Benjy atau Khaeryl Benjamin Ibrahim, 43, disebabkan penyakit asma kronik dan disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Jenazah kini telah menjalani pelbagai prosedur di hospital dan disahkan tiada jangkitan Covid-19.

“Jenazah dibawa ke RS Bhyangkara Brimob (Rumah Sakit di bawah pihak berkuasa Indonesia) dan segala urusan jenazah akan dilakukan di situ sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta Medan, Indonesia, sebelum Zohor waktu tempatan, esok,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya lagi, urusan pengebumian Allahyarham di Medan telah dipersetujui keluarganya di Malaysia sebagaimana yang pernah diwasiatkan Benjy sebelum ini.

“Keluarga arwah Benjy bersetuju jenazah dikebumikan di Medan, Indonesia disebabkan pelakon itu ada mewasiatkan supaya jika apa-apa berlaku kepadanya, dia memohon untuk disemadikan di Medan Indonesia.

“Pengurusan jenazah akan diuruskan oleh pihak Konsulat General Malaysia dan pihak Penjara Tanjung Gusta dengan segala kos akan ditanggung oleh pihak waris.

“Seniman akan cuba membantu mana-mana bahagian selagi kami mampu untuk memudahkan urusan arwah Benjy di Medan,” ujarnya.

Iklan

Seniman yang diwakili Presidennya, Zed Zaidi dan Hafiz pernah melawat Benjy di Penjara Tanjung Gusta Medan pada 15 Disember 2018. Ia merupakan kunjungan kali pertamanya rakyat dan artis Malaysia untuk melawat Allahyarham setelah hampir dua tahun menjalani hukuman penjara.

Pada April 2019, Seniman sekali lagi melawat Benjy dan menyampaikan sumbangan hasil kutipan derma daripada Tabung Prihatin Seniman, selain keperluan Hari Raya.

Benjy, 43, yang juga merupakan anak kepada seniwati Allahyarham Azean Irdawaty meninggal dunia di Hospital Royal Prima Medan, Indonesia, sekitar jam 11 pagi, pada Ahad.

Iklan

Terdahulu pelakon yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki terbaik di Anugerah Skrin TV3 (1996), ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais Indonesia sejurus tiba dari Kuala Lumpur pada April 2017 setelah disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram.

Benjy itu dijatuhi hukuman penjara 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia pada Oktober 2017.