TARIKAN populariti tidak pernah menjadi pesona buat pelakon Sangeeta Krishnasamy untuk menceburi bidang seni seawal membina kerjaya sebagai seorang pelakon.

Sebaliknya, anak jati Kuala Lumpur itu benar-benar meminati dan mahu menjadikan lapangan tersebut sebagai satu ruang untuk beliau berkarya serta menyumbang sesuatu kepada industri termasuk masyarakat.

Tidak mahu hanya menutur bual kosong, Sangeeta membuktikan dedikasinya menerusi beberapa karya yang dibintangi seperti dalam filem Adiwira, Daulat, Proksi dan Juang, selain beberapa judul naskhah Tamil.

Terbaharu, wanita 35 tahun itu tampil dengan filem berjudul Duan Nago Bogho yang sudah mula ditayangkan di pawagam bermula 19 Januari lalu.

Menariknya, karya arahan pengarah berkaliber, Sabri Yunus yang mengangkat tema seni budaya, bangsa dan gangsterisme itu menuntutnya untuk berdialog menggunakan bahasa Kelantan dan bermain makyung.

“Sebagai pelakon bukan Melayu dan bukan juga berasal dari Kelantan semestinya ia bukan satu tugasan mudah.

“Disebabkan keinginan untuk terlibat dalam karya yang mempunyai nilai seni sebegini terlalu tinggi, saya beranikan diri menyahut cabaran.

“Walaupun pada mulanya hampir putus asa dan terasa seperti mahu tarik diri kerana tidak mahu merosakkan karya ini, saya berjaya melakukannya apabila semangat serta jiwa seni yang dikongsi Sabri mengalir dalam diri,” ujarnya.

Sangeeta berguru dengan penggiat makyung, Zamzuriah Zahari untuk mendalami kesenian unik dari Kelantan itu.

Ungkap bintang berketurunan India yang fasih berbahasa Melayu itu lagi, biarpun baru pertama kali bermain Makyung, beliau mengakui sudah jatuh cinta dan mahu mendalami kesenian tradisional tersebut jika mempunyai ruang.

Tempoh latihan selama 48 jam sebelum masuk ke set penggambaran sedikit pun tidak dibazirkan Sangeeta semata-mata mahu mencurahkan sepenuh dedikasi kepada watak Salmi yang dijayakannya.

“Kesenian makyung ini sangat unik dan bukan semua orang dapat menguasainya dengan baik. Walaupun hanya untuk lakonan, jujurnya saya memberi sepenuh komitmen untuk belajar dan tidak sesekali bazirkan peluang itu.

“Makyung mempunyai elemen yang lebih kurang sama dengan kesenian India terutamanya dari aspek muzik dan kehalusan jalurnya. Jujur, saya amat meminati Makyung,” ungkapnya.

Karya ada nilai

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Sabri yang cukup dikenali sebagai pengarah yang mempunyai falsafah yang tersendiri dalam berkarya, Sangeeta yang merupakan lulusan dalam bidang undang-undang mengakui teruja dengan peluang yang diberikan.

Menyifatkan pengarah telefilem Pok Ya Cong Codei itu sebagai pengarah genius yang sentiasa bertanggungjawab dalam setiap karya dihasilkan, Sangeeta banyak belajar memperbaiki diri.

“Sebenarnya ibu saya ialah peminat tegar Sabri. Beliau sangat sukakan karya-karya Sabri yang sentiasa ada falsafah dan mengangkat elemen budaya sesuatu masyarakat. Sabri hasilkan karya dan cerita daripada pengalamannya sendiri.

Iklan

“Saya juga seorang pelakon yang sangat cenderung kepada naskhah yang mempunyai nilai dan manfaat yang tersendiri kepada penonton. Jadi, kami mempunyai hala tuju sama.

“Saya tidak nafikan tentang elemen komersial dan populariti, tetapi saya lebih tertarik mengerjakan karya-karya sebegini kerana saya masuk industri bukan untuk glamor atau kekayaaan, tetapi untuk mencari kesenian,” tegasnya.

Sangeeta mengatur perancangan untuk berkolaborasi denganpenggiat filem dari luar negara.

Pada perkembangan lain, Sanggeta berkata, tahun 2023 bakal menjadi tahun yang penuh cabaran buatnya.

Tidak hanya aktif dalam kerjaya lakonan, tetapi bintang cukup dikenali dengan sikap rendah dirinya itu mahu memberi fokus kepada bidang penulisan filem.

Iklan

“Banyak perancangan yang diatur untuk tahun ini terutamanya dalam bidang penulisan naskhah. Saya mahu ketengahkan karya-karya berbentuk inspirasi yang sepatutnya lebih banyak dihasilkan untuk orang ramai.

“Pada masa sama, saya juga dalam usaha untuk bekerjasama dengan beberapa rakan dan kenalan dari luar negara untuk projek kolaboratif.

“Saya harap usaha ini menaikkan lagi jenama filem kita, sekali gus menyumbang sesuatu buat industri,” katanya menutup perbualan bersama SinarPlus.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.