KEMENTERIAN  Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Pertandingan Video Pendek Seni Budaya dan Nilai-Nilai Murni bermula 1 September lalu.

Ketua pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, tempoh penyertaan pertandingan itu akan berakhir pada 30 September depan.

Ujarnya, antara objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk menanam kesedaran masyarakat terhadap seni budaya dan amalan nilai-nilai murni, menerapkan kefahaman amalan nilai-nilai murni yang merupakan budaya dalam rakyat Malaysia serta mengekalkan satu bangsa yang mempunyai identiti jati diri yang unggul.

“Pertandingan ini telah pun bermula sejak bulan Mei lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Justeru kami anjurkan lagi dan penyertaan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kempen dalam memupuk kesedaran mengenai seni budaya dan nilai-nilai murni diteruskan lagi dan telah pun memasuki fasa ke lima di mana pada bulan September tema yang dipertandingkan adalah Sopan Santun.

“Penghasilan video adalah berkonsepkan sketsa dan menepati lima tema yang dipertandingkan pada setiap bulan.

Iklan

“Tarikh tutup pertandingan pada 1 Oktober 2021 dan senarai pemenang akan diumumkan pada bulan Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengangkat tema Sopan Santun, pertandingan itu juga diharap dapat menerapkan masyarakat kita pada hari ini agar lebih bersopan santun dalam kehidupan mereka.

Iklan

“Contohnya menggunakan bahasa yang sesuai dan lemah lembut. Bukan sahaja melalui pertuturan, tetapi juga melalui tulisan di media sosial,” katanya.

Muat naik video anda ke Google Drive atau wetransfer dan sertakan pautan di Borang Penyertaan dengan mengimbas QR code dalam poster atau layari laman sesawang JKKN http://www.jkkn.gov.my/ms untuk muat turun borang dan syarat penyertaan.