DALAM usaha melahirkan usahawan seni budaya yang berdaya saing melalui transfomasi digital, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan menganjurkan Webinar Makmal Usahawan Seni Budaya (MAUS) Siri 2 tahun 2021.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Ogos itu diadakan secara atas talian melalui platform www.cloudtheatre.com dan turut disiarkan di Facebook JKKN TV.

Penganjuran MAUS yang bermula sejak tahun 2015, sebelum ini berjaya menarik penyertaan ramai usahawan seni budaya daripada pelbagai bidang untuk turut serta dan menjadikan webinar sebagai platform pertemuan, diskusi dan perkongsian ilmu dalam bidang perniagaan.

MAUS Siri 2 terbahagi kepada tiga segmen iaitu Pemasaran Digital, Bicara Selebriti Seni dan Positif Minda.

Segmen-segmen tersebut melibatkan barisan panel yang terdiri daripada Coach Shila Hakim, Datin Seri Tiara Jacquelina, Bernard Goh, Datuk Ramli Ibrahim, Puan Seri Sabera Shaik, dan Ahmad Fadzli Yusof serta penampilan Kartini Kamalul Ariffin dan Helmi Gimmick selaku moderator.

Iklan

Penyertaan dikhususkan kepada usahawan seni budaya yang terlibat dalam penghasilan produk dan perkhidmatan seni budaya, penggiat seni, pemain industri, persatuan seni budaya (NGO) serta turut dibuka kepada usahawan bukan dalam bidang seni dan individu yang berminat untuk mendapatkan ilmu dalam bidang perniagaan.

Melalui penganjuran program itu, JKKN dapat memperkasa dan mengenalpasti usahawan seni budaya yang berpotensi untuk terlibat bersama program-program seni budaya bagi penjanaan ekonomi dalam industri kreatif negara.

Iklan

Maklumat lanjut mengenai program boleh didapati menerusi laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun www.facebook.com/mysenibudaya.