SETELAH kali terakhir melihat lakonan Jennifer Lopez (JLo) dalam filem romantik komedi, Second Act pada 2018, penulis agak teruja untuk menyaksikan aksi terbaharu figura itu dalam naskhah bergenre sama, Marry Me.

Selain JLo, filem arahan Kat Coiro itu turut dibintangi bintang komedi terkenal, Owen Wilson, Maluma, John Bradley-West dan Sarah Silverman.

Marry Me mengisahkan Kat Valdez yang tampil dengan single duet baharu, Marry Me bersama tunangnya, Bastian.

Impian Kat untuk mengahwini tunangnya, Bastian tidak kesampaian setelah video kecurangan itu tular beberapa minit sebelum majlis perkahwinan mereka.

Sempena pelancaran lagu itu, Kat dan Bastian merancang untuk melafazkan ikrar perkahwinan di pentas konsert yang disaksikan jutaan peminat mereka.

Namun beberapa saat sebelum bergelar suami isteri, video kecurangan Bastian tersebar dan Kat yang kecewa dengan insiden itu akhirnya memilih Charlie, salah seorang peminat yang kebetulan sedang memegang papan tanda ‘Marry Me’.

Owen Wilson tampil berbeza sebagai cikgu matematik bernama Charlie.

Charlie, seorang guru matematik dan bapa tunggal sebenarnya hadir ke konsert berkenaan bersama anak, Lou bagi memenuhi undangan rakan baiknya, Parker Debbs.

Di situ, bermulalah perjalanan Kat dan Charlie untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan latar kehidupan yang jauh berbeza.

Secara jujurnya, penulis berasa agak pelik dengan pemilihan Wilson sebagai hero filem ini kerana janggal melihatnya ‘behave‘ dalam lakonan.

Masakan tidak, Wilson sebelum ini cukup terkenal dengan lakonan gila-gila dalam filem-filem lakonannya dan membawakan watak seorang bapa yang lurus tetapi ada sisi komedinya tampak agak asing.

Namun seiring kisah ini bergerak, penulis merasakan pemilihan Wilson tidak salahnya dan pelakon itu berjaya keluar dari zon selesa sebagai pelakon komedi.

Busana yang digayakan JLo dalam filem ini cukup menawan.

JLo pula seperti menjadi diri sendiri sebagai selebriti terkenal bernama Kat Valdez. Bahkan penulis seperti terlupa bahawa pelakon itu sudah berusia 52 tahun kerana kejelitaan dan kelincahannya yang tampak seperti baru berusia lewat 30-an.

Iklan

Gandingan dua pelakon ini juga tidak kurang hebatnya, mereka saling melengkapi antara satu sama lain secara sederhana.

Perkembangan jalan cerita

Namun lakonan mantap kedua-dua figura ini bagai sedikit terganggu dengan jalan cerita yang sudah boleh dijangka.

Bahkan perkembangan dan pembinaan hubungan Charlie dan Kat tidak dikupas dengan lebih mendalam dan dramatik.

Penulis mengharapkan ada kejutan ditampilkan agar Marry Me menjadi satu naskhah yang boleh diingati sebaik meninggalkan panggung, tetapi ia tidak berlaku.

Iklan

Mujur kekurangan itu diganti dengan lagu-lagu yang sedap didengar dan penulis merasakan Marry Me tidaklah terlalu bosan untuk ditonton.

Bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan Kat dan Charlie serta mahu menonton sebuah filem santai pada hujung minggu, maka inilah pilihannya.

KESELURUHAN : 3.5 / 5 BINTANG