Juara pertama Hijrahkan Laguku, Shahir bawa pulang RM100,000

A
A
A

PENYANYI Shahir Zawawi muncul sebagai juara program realiti Hijrahkan Laguku musim pertama yang bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah pada malam Sabtu.

Shahir tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu Madahku yang dihijrahkan daripada lagu Madah Berhelah, nyanyian asal Ziana Zain untuk segmen solo dan Perjalanan Jiwa (Kamelia/Sweet Charity) untuk segmen duet bersama Datuk Nash berjaya memikat hati juri dengan markah tertinggi sebanyak 72 peratus (%).

Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan pemilik nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi, 34, membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

“Alhamdulillah dengan rezeki yang diperolehi menerusi program ini, walaupun saya dan para peserta lain sebenarnya tidak tahu ada hadiah yang ditawarkan di pentas akhir ini.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini, tetapi secara jujurnya bukan soal bergelar juara atau tidak yang saya fikirkan, sebaliknya pengalaman yang dilalui sepanjang lapan minggu dalam program ini serta impak yang diberikan kepada penonton.

“Saya harap program ini akan tampil dengan musim kedua dan seterusnya menjadi platform terbaik untuk anak seni menyebarkan dakwah menerusi lagu dan persembahan,” ujar Shahir.

Sementara itu, tiga finalis yang turut bertanding iaitu Datuk Nash, Iwan Syahman dan Mark Adam berkongsi gelaran naib juara dengan hadiah wang kemenangan bernilai RM20,000 setiap seorang.

Persembahan mantap daripada finalis bertanding di pentas akhir Hijrahkan Laguku.

Program yang mengangkat tema 'Journey Back To Him'  turut disertai oleh Rahmad Mega, Zack Kool, PG Adam dan Zaff VE yang terlebih dahulu tersingkir pada minggu awal.

Pentas akhir Hijrahkan Laguku turut menyaksikan Iwan Syahman dipilih sebagai penerima anugerah Sawa’ Assabil dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3000 yang akan diwakafkan kepada badan-badan kebajikan.

Anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan kepada bekas penyanyi dangdut itu atas usahanya menghijrahkan lebih daripada 30 buah lagu popular nyanyiannya kepada lirik yang berunsurkan dakwah dan ketuhanan.

Kesemua peserta bertanding diadili oleh komposer terkenal, Fauzi Marzuki dan Hazamin Inteam sebagai juri tetap, manakala Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai pendakwah jemputan. Barisan juri profesional mewakili 80% markah, manakala 20% lagi hasil undian penonton.

Program realiti terbitan TV AlHijrah yang menampilkan Faizal Ismail dan Bell Ngasri selaku hos itu turut dihiburkan dengan persembahan daripada Zamani Slam, Mawi dan Cat Farish.

Kedudukan & markah penuh finalis

  1. Shahir (72%)
  2. Datuk Nash (61%)
  3. Mark Adam (63%)
  4. Iwan Syahman (62%)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca