PENGLIBATANNYA dalam bidang seni bukan sekadar ingin berkongsi bakat yang dimiliki kepada umum, sebaliknya selebriti jelita, Julia Farhana Marin mempunyai misi lebih daripada itu.

Julia, 28, yang membuat penampilan sulung dalam bidang lakonan menerusi filem Ratu The Movie, lebih 10 tahun lalu, mengakui dunia seni banyak mendedahkan dirinya kepada perkara baharu, sekali gus lebih kuat mendepani cabaran kehidupan.

Bercerita tentang dirinya, kata Julia yang berdarah kacukan Melayu-Itali, sebelum bergelar selebriti, dia merupakan seorang yang pendiam dan kurang yakin berdepan dengan orang ramai.

Apatah lagi, pada zaman remajanya dia berdepan isu buli yang menyebabkan dirinya fobia dan takut untuk bersikap terbuka kerana risau tindakannya tidak dapat diterima orang di sekeliling.

“Penglibatan saya dalam bidang seni, banyak mengubah diri saya ke arah lebih positif dalam usaha mengatasi ketakutan yang saya alami sebelum ini.

“Bila jadi pelakon, saya jumpa macam-macam jenis orang dan personaliti diri saya jadi berbeza.

“Dari situ saya sedar tidak semua orang bersikap negatif, sebaliknya ramai yang melayan saya dengan baik.

“Jadi saya cuba mengatasi kelemahan diri dan mencari kekuatan untuk lebih yakin berdepan orang ramai dan berani menjadi diri sendiri,” akuinya yang bakal tampil dengan drama terbaharu lakonannya, Single Terlalu Lama dan filem Coast Guard tidak lama lagi.

Sehingga kini, Julia telah membintangi lebih 10 buah filem dan 30 drama serta telefilem.

Bukan hanya mencipta nama di tanah air, bakat gadis tinggi lampai itu juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarbangsa apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem pendek Life Line di Asia Peace Film Festival pada tahun 2017.

Kini bergelar penyanyi

Tidak berhenti setakat itu, selebriti yang dibesarkan di Australia itu kini melangkah setapak lagi apabila mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian pula.

Menurut Julia, penglibatannya dalam bidang nyanyian tidak pernah ada dalam perancangan, sebaliknya berlaku secara kebetulan apabila mendapat peluang menghasikan single daripada syarikat rakaman Newsantara, milik penyanyi Awi Rafael.

Akui Julia, medium muzik adalah salah satu cara dia mencabar diri untuk lebih berani melawan ketakutan, sekali gus mengekspresikan dirinya.

“Saya tidak pernah ada hasrat bergelar penyanyi sebelum ini, tetapi saya mempunyai niat untuk mengatasi ketakutan diri berdepan orang ramai dengan melakukan sesuatu yang boleh membina keyakinan diri.

“Jadi peluang merakamkan single dan bergelar penyanyi membawa saya ke arah itu dan alhamdulillah biarpun agak sukar pada awalnya, namun ia memberikan hasil positif.

Iklan

“Ramai yang tidak tahu, sebenarnya majlis pelancaran single duet sulung saya bersama Awi Rafael, Jangan Pernah Lupakan Aku beberapa kali ditunda kerana ‘ketakutan’ saya untuk membuat persembahan secara langsung di depan orang ramai,” katanya yang ditemui ketika pelancaran single dan muzik video lagu tersebut di Pullman Kuala Lumpur Bangsar baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut tentang single Jangan Kau Pernah Lupakan Aku, Julia menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada sahabat baiknya, Awi Rafael sepanjang proses pembikinan lagu itu.

“Alhamduillah Awi banyak membantu saya dari aspek vokal dan penghayatan, sehingga lagu itu menjadi sebagaimana yang anda semua dengar sekarang.

“Lebih membuat saya teruja, produksi lagu dan pembikinan muzik videonya juga mendapat kerjasama dan tajaan daripada Habib Jewels.

Iklan

“Saya dan barisan pelakon dalam muzik video single tersebut berpeluang memperagakan barangaan kemas tajaan Habib yang mana nilai keseluruhannya hampir RM6 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, meski sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, Julia mengakui terlibat aktif dalam kerja amal melibatkan masalah kesihatan mental.

“Kesihatan mental sangat penting dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua orang.

“Mengambil pengalaman diri sendiri yang pernah berdepan situasi kemurungan, anxiety dan sebagainya, saya yakin dapat membantu dan menyumbangkan sesuatu.

“Harapan saya agar kita semua sama-sama mengambil tahu dan menyuntik kesedaran tentang isu kesihatan mental ini kepada masyarakat sekeliling,” akhirinya.