LEBIH setengah abad bergelar anak seni dan tampil dengan pelbagai karya menusuk jiwa, Datuk Ramli Sarip tetap bersemangat untuk terus berkongsi falsafah seni dan kehidupan dalam muzik dibawa.

Terbaru, Ramli, 69, yang sinonim gelaran Papa Rock tampil dengan album Rasa yang mengumpulkan lagu-lagu terbaik untuk dikongsi dengan peminat.

Setelah sembilan tahun tidak menghasilkan album baharu, beliau menyifatkan karya tersebut sebagai sesuatu yang istimewa dan harus dijadikan koleksi serta rujukan pada masa akan datang.

“Saya akan bekerjasama dengan semua pihak untuk memperkenalkan album ini kepada semua. Jika karya ini tidak dapat kongsi dengan lebih ramai pendengar, ia amat merugikan.

“Pada saya, kadang-kadang kita kena datang kepada peminat dan bukan hanya mereka yang datang kepada kita. Saya mendapat maklum balas positif daripada peminat yang ternyata mahukan sebuah album yang memuatkan karya-karya terbaik.

“Saya cukup yakin dengan album baharu ini dan percaya orang akan suka dengan lagu-lagu yang ditampilkan kerana ia mempunyai satu karakter muzik segar, selain lirik yang lebih dewasa,” katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Surat Cinta Kuala Lumpur, Sri Kandi Zaman, Sentosa Di Kubah Hayat, Ronggeng Rakyat dan Cinta Di Sebalik Musim.

Mengakui lebih teruja menghasilkan album berbanding single, penyanyi kelahiran Singapura itu berkata, ia lebih memberi kepuasan kepada anak seni sepertinya.

“Jika diberi pilihan, saya tidak mahu tampil dengan single sahaja kecuali dalam keadaan tertentu yang memerlukan kepada cara itu.

“Saya masih mempunyai 25-30 buah lagu yang sedia ada dalam simpanan. Dalam usia begini, saya mahu kongsi sesuatu yang boleh membuatkan anak muda merasai kedewasaan dalam karya-karya yang tinggi nilainya,” jelasnya.

Iklan

Persembahan amal

Bintang lagenda itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Persembahan Istimewa dan Berbuka Puasa Rasa (Cinta Di Sebalik Musim) Datuk Ramli Sarip yang akan berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur, pada 24 April depan.

Ramli bersama barisan penggiat seni yang menerima sumbangan bersempena Persembahan Istimewa dan Berbuka Puasa Rasa (Cinta Di Sebalik Musim).

Program anjuran Mukmin Pay Sdn Bhd dengan sokongan Konsortium IRAMA itu memberi peluang kepada peminat berbuka puasa bersama Ramli serta menikmati persembahan menarik yang disajikan.

Tidak hanya itu, persembahan tersebut juga bermatlamat untuk membantu penggiat seni yang berdepan ujian seperti sakit dan ditimpa musibah menerusi hasil jualan meja berharga antara RM3,000 hingga RM15,000.

Iklan

“Indah sebenarnya perjalanan seni dalam situasi pandemik ini. Bagi saya ada satu hikmah dan benda magik yang banyak mengajar saya untuk berdikari.

“Insya-ALLAH saya akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu daripada album Rasa, selain seleksi lagu popular nyanyian saya yang bersesuaian dengan persembahan itu nanti.

“Saya suka membuat persembahan secara live kerana menerusi persembahan sebeginilah kita boleh sajikan kelainan. Kalau beri benda sama, baik orang dengar rakaman sahaja. Jadi persembahan ini akan sajikan sesuatu yang istimewa,” katanya.