JIKA dahulu lawak jenaka hanya diperlukan sebagai acara selingan menceriakan sesuatu majlis, kini situasinya sudah berbeza. Persembahan komedi hari ini, menjadi satu bentuk persembahan yang sama pentingnya dengan bidang lain seperti nyanyian dan lakonan.

Malah, kini barisan pelawak tidak lagi dianggap sebagai kelompok kedua dalam dunia hiburan tanah air. Sebaliknya mereka turut mendapat ruang dan peluang sama rata dalam industri hiburan.

Bicara Seni kali ini bersama pelawak Ropie Cecupak atau nama sebenarnya, Zahid Tajuddin, 53, untuk berkongsi pandangan dan pengalamannya yang lebih dua dekad beraksi di pentas komedi.

SINAR PLUS: Bagaimana anda melihat perkembangan dunia persembahan komedi pada masa sekarang?
ROPIE: Dunia lawak komedi tanah air hari ini mengalami satu perkembangan yang sangat membanggakan dari pelbagai sudut.

Lebih dua dekad bergelar pelawak, saya lihat pada era inilah pelawak paling dihargai dan diberikan banyak peluang untuk muncul beraksi menerusi pelbagai medium dan platform selain saluran khas komedi di TV.

Alhamdulillah, paling penting bayaran atau gaji kami hari juga jauh lebih baik berbanding dulu dan itu adalah satu perkembangan sangat positif kepada penggiat-penggiat komedi tanah air.

Dalam masa sama, pertambahan bilangan pelawak secara tidak langsung juga membawa kepelbagaian dalam pengisian lawak komedi sedia ada. Ia turut memberi dimensi baru kepada dunia komedi tanah air yang sebelum ini dilihat dari satu perspektif sahaja

Apakah persembahan komedi dulu dan sekarang mempunyai beza yang ketara?

Tidak banyak bezanya kerana tujuan kita membuat lawak jenaka adalah untuk menghiburkan orang ramai.
Cuma kalau berbeza pun, mungkin melalui cara dan pendekatan sahaja. Kalau dulu persembahan lawak komedi mesti mengikut garis panduan tertentu dan kita tidak berani nak buat suka hati walaupun ia hanya komedi.

Sekarang lain kerana saya melihat rata-rata pelawak generasi baharu agak berani bermain dengan bahan jenaka yang mungkin pelawak-pelawak dahulu takkan buat.

Saya faham dengan perubahan zaman yang harus kita terima, cuma bagi saya, seseorang pelawak itu harus sedar ruang dan tidak boleh nak ‘langgar’ semua atas tiket komedi.

Ciri-ciri atau pengisian yang perlu ada untuk sesebuah persembahan komedi yang baik dan menarik?

Paling penting, ia mesti menghiburkan orang. Tentang ciri dan pengisian secara khusus, bagi saya ia sebenarnya berubah mengikut zaman.

Kalau zaman saya bermula dahulu sekitar hujung tahun 1990an, kami mementingkan jenaka yang bermesej dan mempunyai elemen mendidik, terutamanya untuk persembahan di TV. Komedi kasar atau menyentuh isu-isu sensitif sama sekali akan dielakkan dalam persembahan. Mesti ada batas meskipun ia hanya lawak jenaka.

Iklan

Sekarang mungkin sedikit terbuka dan berani kerana penonton masa kini juga mempunyai cita rasa berbeza. Ada yang suka tengok komedi semata-mata untuk berhibur dan bergelak ketawa saja.

Mahu tidak mahu, saya kadang kala turut terjebak dengan tuntutan komersial dan kehendak penonton semasa tetapi tidaklah sampai melampaui batas. Jangan seronok sangat berlawak sehingga memberikan pengaruh negatif pada masyarakat.

Apakah yang kriteria perlu ada pada seseorang pelawak yang baik?

Disiplin kena nombor satu. Untuk menjadi orang yang bagus dan berjaya, tak kiralah dalam bidang apa pun termasuklah pelawak, disiplin kena jaga.

Iklan

Persediaan dan llmu kena ada dan sentiasa tambah baik agar kita faham serta lebih bertanggungjawab dengan persembahan yang dilakukan meskipun ia hanyalah sebuah persembahan komedi.

Lebih dua dekad berada di pentas komedi, adakah anda berpuas hati dengan perjalanan seni sebagai seorang pelawak?

Secara peribadi, ya. Ia bukan soal pencapaian di mata orang atau industri, tetapi lebih kepada kepuasan diri sendiri.
Jujurnya saya dapat apa yang saya mahukan sepanjang bergelar pelawak. Saya puas hati dapat menghiburkan orang ramai, menyumbang sesuatu untuk masyarakat dan lain-lain.

Alhamdulillah berbanding dulu, saya kini lebih diterima dan dihargai, meskipun tidak dalam level pelawak superstar dan sebagainya.