HAMPIR sedekad menyelusuri onak ranjau sebagai anak seni, penyanyi Kaka Azraff memilih untuk melalui satu transisi baharu dalam karier muziknya.

Terkenal dengan lagu ‘catchy’ dan gandingannya bersama Zizan Razak dalam lagu Bawaku Pergi, Infiniti Cinta dan seterusnya hits dengan lagu Bukan Hal Aku bersama Sleeq serta Sibuk duet bersama Alif, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa binti Noor Azraff mencabar diri untuk membawakan lagu bergenre balada menerusi Karma.

Namun kali ini, penyanyi berusia 32 tahun itu diberi peluang untuk bergandingan bersama penyanyi yang berasal dari Brunei, tetapi sedang menempa nama di Indonesia iaitu Jaz Hayat.

Karma merupakan lagu ciptaan komposer hebat Farouk Roman dan lirik yang ditulis oleh Aisha Retno, kini menjadi runut bunyi untuk drama hits slot Samarinda TV3, Takdir Yang Tertulis.

Berkongsi pengalamannya pertama kali membawakan lagu balada, Kaka mengakui Karma amat mencabar vokalnya.

Meskipun rakaman bersama Jaz dibuat berasingan, namun ia tidak menjadi penghalang buat Kaka memberi hasil yang terbaik.

“Karma sangat berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini. Saya sendiri tidak pernah terbayang akan nyanyikan lagu sebegini. Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan keputusan menyanyikannya.

“Sebenarnya ia secara tidak langsung menunjukkan sisi lain Kaka Azraff kerana Karma merupakan lagu balada pertama yang menunjukkan vokal sebenar saya dengan bantuan Afif Tirmizie selaku pengarah vokal.

“Lebih mencabar apabila saya dan Jaz perlu merakamkan lagu ini secara berasingan dan saya sedaya upaya untuk letakkan emosi yang bersesuaian,” jelasnya ketika ditemu bual pada sesi sidang media lagu Karma menerusi atas talian pada Khamis.

Kaka dan Jaz teruja apabila diberi peluang untuk menyampaikan lagu Karma oleh syarikat rakaman, Sony Music.

Sebagaimana Kaka, Jaz juga menganggap projek ini menjadi satu lagi transisi penting dalam karier nyanyiannya.

Sudah terbiasa dengan genre pop dalam karyanya sebelum ini, lagu Karma jelas memberi suapan baharu buat konteks nyanyiannya.

“Kebiasaan lagu saya adalah yang berentak santai dan riang. Namun menerusi lagu ini, saya benar-benar melakukan sesuatu yang di luar genre sendiri. Ia sebuah lagu balada yang perlu penjiwaan berat.

“Bahagian paling susah adalah harmoni antara nyanyian kami berdua,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Kaka, dia berharap Karma berpeluang menembusi industri muzik Asia seperti mana lagu Gila yang mendapat tempat di hati pendengar di Korea Selatan.

Muzik video Karma yang dihasilkan oleh produksi 6ix Studios dari Malaysia yang diarahkan oleh Hafiz Shafie dan Nocturnal Projects dari Indonesia dibawah arahan Bobby Adrian Vitra telah dilancarkan pada 11 Februari di Vevo dan Youtube rasmi Sony Music Malaysia (sonymusicMYVEVO).

Karma boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Iklan

Impian ke Indonesia

Melihat Karma sebagai satu peluang untuk melebarkan sayap ke Indonesia, anak saudara kepada Ratu Rock, Ella  berharap impiannya itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

“Sejujurnya saya sudah lama memasang impian untuk menembusi pasaran Indonesia. Malah sejak awal pembabitan saya di dalam industri seni, saya berharap suatu hari nanti impian itu akan menjadi kenyataan.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat berkolaboratif bersama Jaz. Kalau ada peluang lagi, saya memang teringin untuk bekerjasama dengan syarikat rakaman atau komposer di Indonesia.

“Seperti kita semua tahu muzik di Indonesia lebih besar,” jelasnya.

Kaka berharap kerjasama bersama Jaz Hayat akan menjadi titik tolak buatnya mengembangkan kerjaya ke Indonesia.

Tidak hanya melunaskan impian sendiri, Kaka berkata, dia juga berharap dapat menunaikan permintaan peminat yang tidak jemu menyokongnya sejak hampir 10 tahun lalu.

Iklan

Katanya, selepas tampil dengan lebih 15 buah lagu termasuk lagu duet, dia teringin untuk tampil dengan album pertamanya.

“Ya, dari awal pembabitan saya, saya tidak pernah tampil dengan album. Hanya single demi single sama ada solo atau duet bersama penyanyi lain.

“Jadi menjelang 10 tahun pembabitan dalam industri seni tahun depan, saya memang teringin untuk keluarkan sebuah album.

“Banyak juga perancangan lain yang saya sudah rencanakan, tetapi agak sukar untuk diperincikan buat masa sekarang.

“Bagaimanapun besar harapan saya untuk keluar dengan sebuah album tahun depan, sebagai ulang tahun pembabitan saya dalam industri dan menjadi hadiah buat peminat yang setia menyokong karier saya,” katanya.