BUKAN sahaja disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara, namun ‘kehilangan’ pelakon Nadia Aqilah dalam dunia seni lebih setahun lalu adalah disebabkan tumpuannya kepada rumah tangga selepas bergelar ibu.

Teruja dengan status dan tanggungjawab baharu itu, pemilik nama sebenar Nadia Aqilah Bajuri, 36, mengambil keputusan untuk berehat seketika dan memberi tumpuan kepada kehadiran cahaya mata sulungnya yang dilahirkan pada Disember 2019.

“Status sebagai ibu memang mengubah 200 peratus kehidupan saya sebagai seorang wanita dan manusia. Malah sebagai pelakon juga saya kini memberi reaksi berbeza terhadap sesuatu, selain pandangan saya juga berubah.

“Selepas jadi ibu, saya dapat rasakan diri menjadi semakin kuat dan memahami perasaan menjadi ibu dalam erti kata sebenar.

“Mungkin dulu saya tidak faham tentang soal ini kerana dibesarkan oleh ayah, tetapi sekarang berbeza.

“Jadi saya mengambil cuti panjang untuk memberi tumpuan kepada anak dan tanggungjawab baharu sebagai ibu. Kebetulan pula pandemik berlaku beberapa bulan selepas itu dan aktiviti seni pula terhenti seketika,” jelasnya.

Nadia yang ditemui ketika sidang media drama SiTik Tok yang diadakan secara maya baru-baru ini mengakui seronok apabila kembali berlakon dan tampil dengan drama terbaharunya untuk mengubat rindu peminat.

“Drama SiTik Tok menjalani penggambaran pada hujung tahun lalu dan ia merupakan lakonan pertama saya selepas lama berehat.

“Seronok tetapi dalam masa sama perlu menyesuaikan diri dengan situasi baharu di set penggambaran di mana kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat disebabkan Covid-19.

“Apatah lagi saya mempunyai anak kecil di rumah yang tentunya memerlukan saya sentiasa berjaga-jaga sepanjang berada di luar. Senang cerita saya agak paranoid dan kalau boleh nak buat ujian calitan setiap minggu,” kata ibu kepada Senja Aqilah yang kini berusia setahun lebih.

Nadia memegang watak sebagai Miss Rona dalam drama SiTik Tok.

Berkongsi lanjut tentang pembabitannya dalam drama arahan Joon Goh yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3 itu, kata Nadia, naskhah tersebut tampil dengan jalan cerita berbeza, malah bersesuaian dengan trend masa kini.

Iklan

“Saya teruja menjayakan watak sebagai Miss Rona yang ternyata memberi keseronokan berbeza dalam lakonan kali ini.

“Lebih daripada itu, saya juga seronok bekerja dengan pasukan produksi Wildsnapper TV yang sangat teliti dengan kerja-kerja mereka dalam setiap aspek.

“Situasi ini semestinya memberi kelebihan kepada semua orang terutamanya pelakon, apabila kami hanya perlu fokus dan bersedia dengan karakter masing-masing sahaja kerana semua perkara lain
diuruskan produksi dengan begitu baik sekali,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Nadia mengakui lega apabila penggambaran di luar studio melibatkan negeri-negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dibenarkan.

“Satu perkembangan yang baik, tetapi dalam masa mengharapkan agar mereka yang terlibat sudah mendapatkan vaksin.

“Saya rasa kalau pihak berkenaan boleh mempercepatkan proses tersebut kepada semua kru, ia sangat-sangat membantu kami semua,” katanya.