PRIHATIN dengan situasi semasa yang menyaksikan ramai terjejas dan hidup susah sepanjang pandemik Covid-19 melanda, pelawak dan penyampai radio Suria FM, Ajak Shiro sentiasa mencari inisiatif terbaik untuk menghulurkan bantuan pada yang memerlukan.

Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanafi Razak, 35, saban hari dia menerima mesej langsung (DM) di Instagram miliknya daripada mereka yang tidak dikenali untuk meminta bantuan.

Menyedari tidak semua mampu dibantu, Ajak, mengemukakan idea mewujudkan Tabung Pendengar Suria kepada pengurusan Suria FM dalam usaha untuk membantu orang ramai khususnya pendengar setia stesen tersebut.

“Idea untuk buat tabung ini mula sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Ia bermula apabila ramai mesej saya secara peribadi minta bantuan, tetapi secara jujurnya saya memang tak mampu nak bantu semua orang.

“Jadi ketika perbincangan tentang kandungan baharu Suria, saya ketengahkan idea tersebut kepada ketua dan pihak pengurusan.

“Alhamdulillah mereka semua termasuk penyampai-penyampai lain bersetuju dengan idea ini kerana bukan sahaja kami dapat membantu mereka yang memerlukan, tetapi dalam masa sama dapat mendekatkan pendengar dengan Suria sendiri,” katanya.

Slot Tabung Pendengar Suria boleh diikuti menerusi segmen Team Pagi Suria yang dikendalikan oleh Ajak, Suraya dan Fizi Ali pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi.

Bagi pendengar yang ingin memohon bantuan, boleh mendaftarkan butiran peribadi beserta sebab mereka perlukan bantuan Tabung Pendengar Suria. Bantuan wang tunai berjumlah RM100 akan dikreditkan kepada akaun pendengar terpilih pada hari sama.

Dalam pada itu, Ajak mengakui turut berdepan cabaran dalam usaha itu terutamanya untuk melaksanakan bantuan tersebut pada hari sama ia dipohon.

“Cabaran utamanya apabila kita nak bagi duit tabung tersebut pada pendengar yang terpilih pada hari itu juga.

“Ia sebenarnya memerlukan pelbagai proses, tetapi saya tak sangka ia dipermudahkan. Syukur dapat bekerja dengan orang-orang yang profesional dan memilih cara kerja memudahkan para pendengar.

Iklan

“Saya juga nak berterima kasih pihak pengurusan Suria yang sentiasa menerima idea-idea kami semua,” katanya.

Akui Ajak, dia turut bangga apabila ramai rakan selebriti dan individu berkemampuan tampil menghulurkan bantuan sebagai tanda prihatin mereka.

Bagaimanapun kata Ajak, usaha itu tidak perlu dijadikan kandungan di laman media sosial masing-masing demi menjaga aib penerima bantuan.

Iklan

“Kalau dah bantu, tak payahlah nak kongsikan pada umum. Pada saya cukuplah kita dengan ALLAH saja. Kadang-kadang kita kena jaga perasaan orang yang kita bantu itu juga.

“Memang kita rasa nak buat konten dan dapat pujian tapi kenalah fikir orang lain juga.

“Bagi setengah pihak yang perlu tunjuk mereka sampaikan bantuan atas sebab untuk beri bukti atau amanah pada orang lain itu okeylah. Tapi selain itu, rasanya tak perlulah kita nak kongsi,” tegasnya.