"Kalau ikutkan takut, sampai bila-bila kami tidak boleh bekerja" - Awie bakal tampil showcase istimewa

A
A
A

SELEPAS beberapa siri persembahan yang dirancang sebelum ini ditangguh dan dibatalkan berikutan penularan pandemik Covid-19, Datuk Awie bakal tampil dengan sebuah persembahan berbeza sempena bulan Ramadan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, berkata, persembahan menerusi showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan itu begitu istimewa buatnya.

Persembahan anjuran Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading itu bakal berlangsung selama dua hari.

Showcase pertama pada 30 April, berlangsung di Hotel Lacrista, Melaka bersama pemuzik undangan, diikuti 1 Mei di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, di mana Awie akan muncul bersama Wings.

Menurutnya lagi, showcase tersebut akan berlangsung dalam keadaan santai dan menenangkan khas buat peminat yang merindukan persembahannya secara langsung di pentas.

“Saya akan menampilkan persembahan paling santai dan sedap di halwa telinga pendengar.

“Peminat datang untuk menikmati juadah berbuka puasa sambil menonton persembahan, jadi mereka tentunya mahukan muzik yang boleh memberikan ketenangan, bukannya muzik yang boleh membingitkan telinga.

“Untuk persembahan di Kuala Lumpur nanti, saya bersama-sama dengan anggota Wings akan tampil secara akustik,” katanya yang turut menjanjikan kejutan pada persembahan tersebut.

Sementara itu, bagi membangkitkan suasana hari raya, persembahan selama satu jam setengah itu juga akan dimeriahkan dengan rangkaian lagu-lagu raya terbaik, selain single popular Awie secara solo dan bersama Wings.

Dalam pada itu, Awie berkata, keputusan mengadakan showcase selama dua hari itu dilakukan dalam tempoh singkat, malah menyifatkan apa pun yang terjadi, hidup harus diteruskan.

Janjikan persembahan berbeza dalam showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan.

Tetap patuhi SOP

Mengakui rata-rata penggiat seni antara golongan yang terjejas teruk berikutan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sejak setahun lalu, mereka tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu terus bekerja demi keluarga.

“Sebenarnya saya memegang prinsip hidup harus diteruskan. Kami dah ditentukan ALLAH untuk menjadi pemuzik, penyanyi dan penghibur.

“Jadi mahu atau tidak, kami perlu bekerja. Melalui penganjuran showcase ini sekurang-kurangnya dapatlah kami membantu pemuzik, pengurus acara dan mereka yang terbabit dalam industri ini secara tidak langsung.

“Kami perlu terus bekerja, jika hendak diikutkan rasa takut sampai bila-bila kami tidak boleh bekerja.

“Apa yang penting setiap orang yang terlibat perlu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek, Mubarak Akhtar atau Hatta berkata, jumlah penonton untuk persembahan terbabit terpaksa dihadkan bagi mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Selain persembahan, acara pada malam berkenaan juga akan diisi dengan aktiviti kerohanian di mana kita akan memulakan acara dengan sesi tazkirah sebelum majlis berbuka puasa.

“Diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih, sebelum memulakan persembahan yang dijangka bermula kira-kira jam 9.30 malam,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan diperoleh dengan menghubungi Zul mewakili Sayap Sayap Wings.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca