SELAMA lebih tujuh tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan, bintang berbakat besar, Kodi Rasheed mengakui sentiasa terbuka menerima apa sahaja watak yang diberikan untuk menguji kemampuan lakonannya.

Bagaimanapun, Kodi atau nama sebenarnya Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed, 31, akur apabila penonton dilihat lebih cenderung menerimanya dalam karakter antagonis.

Banyak drama dan filem lakonannya dengan karakter sebegitu menjadi sebutan, sekali gus menaikkan namanya dalam lakonan.

“Saya memang kerap menerima tawaran membawakan watak antagonis kerana kebanyakan penonton lebih menerima dan kenal saya menerusi karakter sebegitu.

“Malah disebabkan karakter itu juga, saya sering dikecam dan dimaki, selain pernah menerima ugutan bunuh kerana penonton terbawa-bawa emosi serta kebencian mereka terhadap watak jahat yang saya bawakan.

“Saya okay sahaja dengan situasi itu kerana faham apa mereka rasa dan dalam masa sama membuktikan watak yang saya bawakan itu berjaya memberi impak kepada penonton,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 pada tahun 2015.

Tidak serik membawakan watak sebegitu, Kodi yang ditemui pada majlis sidang media drama Ali Alia yang diadakan secara maya baru-baru ini, sekali lagi tampil dengan watak antagonis menerusi drama tersebut.

“Memang orang dah biasa tengok saya bawa watak jahat, tetapi karakter jahat dalam drama Ali Alia ini sedikit berbeza dengan lakonan saya sebelum ini.

“Walaupun tidak banyak babak melibatkan saya kali ini, tetapi setiap penampilan yang ada itu akan buat orang sakit hati dengan saya.

Iklan

“Apa boleh saya katakan, drama ini memberikan sesuatu berbeza dari segi konten dan penceritaan yang disampaikan,” akui Kodi.

Drama arahan Heykal Hanafiah yang kini sedang bersiaran di saluran Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang itu turut menampilkan lakonan Erynne Erynna, Fimie Don, Rusdi Ramli dan Faezah Elai.

Tidak melihat populariti sebagai sesuatu yang perlu dikejar, Kodi sentiasa percaya masih ada pihak termasuk pengarah dan penerbit yang meletakkan bakat seseorang pelakon sebagai pilihan utama.

Iklan

“Drama Ali Alia adalah contoh terbaik dalam soal ini. Barisan pelakon yang ditampilkan hampir kesemuanya hebat pada bakat dan bukan populariti.

“Bagi saya sendiri, memang sejak dulu saya tidak pernah mengejar populariti untuk dilihat orang. Kalau itu menjadi keutamaan, mungkin macam-macam saya sudah buat di media sosial.

“Jadi sehingga hari ini saya masih percaya, penonton mahu melihat bakat. Memang ada segelintir yang suka tengok orang cantik dan popular, tetapi pada akhirnya pelakon berbakat yang akan diingati apabila sesebuah karya tersebut berjaya,” akhirinya.