PENGARAH Along Kamaludin meluahkan rasa kesal atas kekecohan yang berlaku dalam industri seni berikutan kontroversi penyebaran video yang memaparkan adegan panas dalam drama Perempuan Itu yang kini sedang hangat diperkatakan.

Along atau nama sebenarnya, Shahrom Kamaludin, 55, berkata, perbuatan mereka yang terlibat dalam pembikinan babak terbabit adalah sangat keterlaluan, sekali gus mengundang pandangan serong masyarakat terhadap industri.

“Bagi saya, apa yang dilakukan itu tidak sepatutnya berlaku. Tak perlu buat begitu semata-mata nak orang tengok karya kita. Kita ada batas sendiri dan jangan ikut cara ‘mat salih’.

“Bila berlaku perkara seperti ini, artis-artis juga yang akan dipandang rendah, malah menjatuhkan maruah mereka di mata masyarakat. Tak sepatutnya melangkau benda-benda sebegitu kerana kita bukan Hollywood. Ia sangat menjelikkan.

“Sebagai pengarah atau pelakon, anda sepatutnya mengangkat perkara-perkara yang positif untuk naikkan industri dan bukan dengan menjatuhkan industri dengan perkara-perkara seperti ini,” katanya kepada SinarPlus.

Along berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana program-program Ramadan Awesome TV dan kolaborasi amal tanggungjawab sosial korporat bersama Koperasi Amanah Pelaburan Berhad yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Damansara pada Isnin.

Dalam pada itu, pengarah drama Antara Ikhlas dan Kaca yang bakal disiarkan di Awesome TV pada Ramadan nanti turut menyelar tindakan individu yang menyebarkan video terbabit untuk tujuan gimik.

“Bagi saya trend buat gimik untuk naikkan rating drama adalah satu idea yang cetek. Tak semestinya nak promosikan karya dengan buat benda yang memalukan seperti ini.

“Kalau saya di tempat pengarah terbabit, saya akan rasa malu pada keluarga dan industri dengan tindakan itu. Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk tarik perhatian orang ramai untuk menonton.

Iklan

“Kenapa anda perlu sebarkan adegan sebegitu untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia yang kebanyakannya adalah Melayu. Mana jati diri anda sebagai orang Melayu?

“Saya juga kecewa dengan artis terbabit kerana sanggup terlibat dengan adegan sebegitu. Kalau kata itu adalah permintaan pengarah, sebagai pelakon anda sentiasa ada hak untuk menolak atau membantah untuk buat sesuatu yang dirasakan tidak betul dan boleh mengaibkan industri,” tegasnya.

Mengulas tentang tindakan mungkin boleh dikenakan kepada mereka yang terlibat, Along berkata, ia terpulang kepada pihak-pihak yang berkenaan. Tinadkan tegas perlu diambil untuk mengekang perkara sama daripada terus berulang.

Iklan

“Saya rasa pihak stesen TV perlu lihat tentang perkara ini, Apa tindakan yang perlu diambil, itu terpulang pihak stesen dan industri.

“Apa-apa pun kita tidak mahu perkara ini berulang lagi. Di mana kewajarannya jika seseorang itu lakukan perkara tidak elok, tetapi mempopularkan diri mereka pengajaran.

“Sekarang ni saya lihat ramai artis yang buat benda-benda tak elok, tetapi stesen masih lagi mengambil mereka. Jadi macaman kita nak betulkan perkara ini,” katanya.