PENCARIAN Cek Mek Molek Tati kini melabuhkan tirai setelah menemui juaranya di acara kemuncak yang berlangsung pada Khamis.

Gelaran tersebut menjadi Kamilia atau nama lengkapnya Nurul Kamilia Afiqah Mohd Kamaruzaman, 24, dari Kemaman, Terengganu. Kemenangan itu sekali gus melayakkan Kamilia membawa pulang kontrak bersama Molek FM bernilai lebih RM30,000.

Program pencarian Cek Mek Molek Tati yang bermula sejak Februari lalu itu turut menampilkan empat lagi finalis iaitu Nur Izzati Mohd Rashid, Preti Kaur Gill A/P Jagjit Singh Gill, Alifah Ilyana Mohd Zakiamani dan Nik Maisarah Jamil.

Menurut Kamilia, pernyertaannya dalam program terbabit bermula atas dorongan daripada rakan-rakan serta para pengikut di media sosial.

“Saya rasa seperti tidak percaya terpilih dalam senarai Top10 dan seterusnya layak menjadi finalis Cek Mek Molek Tati. Untuk peringkat akhir, saya yakinkan diri saya untuk berikan yang terbaik.

“Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan & dorongan tanpa henti, walaupun mereka berada jauh di kampung, tapi setiap hari bila Molek FM memuat naik video tentang saya, mereka akan memberikan komen dan pandangan yang membina.

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan ketika saya merasa tidak yakin dengan diri saya sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Finalis Cek Mek Molek Tati diberikan beberapa cabaran bagi menguji tahap kemampuan mereka untuk menjadi penyampai Molek FM yang bukan sahaja perlu petah berkata-kata lebih-lebih lagi dalam dialek Pantai Timur, malah perlu bijak mengatur strategi mereka untuk melayakkan mereka ke pentas akhir.

Iklan

Antara cabaran yang perlu dilakukan oleh mereka adalah mereka membuat talksets secara virtual dan bersemuka, cabaran TikTok bersama penyampai radio Molek FM, cabaran membaca berita serta aktiviti komuniti, temubual bersama artis serta selebriti juga ke udara di segmen Molek Petang bersama Mat Dan dan Molek Malam bersama Kai Hassan.

Pencarian Cek Mek Molek Tati berlangsung dari 12 Februari sehingga 24 Mac telah berjaya menarik hampir 100 penyertaan daripada pendengar setia Molek FM dan orang ramai.

Iklan

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu.

(FOTO: Molek FM)