FILEM sentuhan terakhir Allahyarham Mamat Khalid, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali mendominasi carta nombor satu Astro First minggu ini.

Kini filem komedi seram arahan Amen Khalid itu bukan sahaja terus menghiburkan penonton di Astro First, tetapi dalam masa yang sama bersedia menemui peminat dan penonton di panggung wayang terpilih seluruh Malaysia bermula 18 Mac (hari ini) dalam tempoh terhad.

Perkembangan tersebut menyaksikan kali pertama setelah empat tahun Kampong Pisang Universe ditayangkan di panggung wayang selepas filem Hantu Kak Limah.

Kampong Pisang Berbuah Dua Kali terlebih dahulu menemui penonton di platform Astro First bermula 3 Mac lalu dan berjaya mraih kutipan RM1 juta dalam tempoh enam hari pertama tayangan.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyifatkan karya sentuhan terakhir Allahyarham Mamat Khalid itu seharusnya dinikmati menerusi platform berbeza yang menawarkan perspektif tersendiri.

“Astro Shaw mengambil inisiatif dengan membawakan filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali ke pawagam. Ini memberikan peluang buat para penonton untuk merasai kelainan dari sudut pengalaman sinematik, di samping merasai keseronokan bergelak-tawa bersama seisi keluarga mahu pun rakan-rakan di layar perak.

“Kami mengharapkan usaha ini sedikit sebanyak dapat memastikan karya sentuhan terakhir ini terus dihargai dan tersemat di hati kita semua.

“Rentetan daripada sambutan baik di Astro First, kami yakin perkhabaran filem komedi seram ini di panggung wayang tentu menambahkan lagi keterujaan penggemar filem serta mengubat rindu buat mereka yang sukakan ‘feel’ pawagam,” katanya.

Iklan

Pawagam terpilih yang akan menayangkan Kampong Pisang Berbuah Dua Kali adalah TGV Bukit Tinggi, Klang; TGV Kinta City, Ipoh; TGV Bukit Mertajam, Penang; TGV Tebrau City, Johor; TGV Mesra Mall, Terengganu; dan TGV Wangsa Walk, Kuala Lumpur.

Filem terbitan Astro Shaw dan kerjasama produksi Enjit-Enjit Semut itu membariskan pelakon Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Mat London, Datin Padukan Eina Azman, Azman Mantra, Dewa Sapri, Joey Daud dan lain-lain.

Iklan

 

(FOTO: ASTRO SHAW)