FILEM terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa berjaya meraih kutipan lebih RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan di Astro First.

Kutipan tersebut sekali gus mengulangi kejayaan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang menemui penonton pada bulan Ramadan lalu.

Ternyata filem-filem arahan sutradara Mamat Khalid tidak pernah mengecewakan, malah mempunyai peminat dan pengikutnya yang tersendiri.

Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa dianggap berjaya menyerikan ‘mood’ raya serta jenaka yang dipersembahkan membawa penonton lari seketika daripada tekanan dan kebosanan.

Pengarah Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, Mamat Khalid, meluahkan rasa syukur apabila karya terbaharunya itu diterima baik penonton.

“Alhamdulillah filem ini diterima oleh kebanyakan penonton dan terima kasih kepada semua barisan pelakon, kru dan semua yang terlibat yang berusaha keras dalam menjayakan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Astro yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengetengahkan karya-karya yang dihasilkan.

“Sokongan padu daripada semua pihak ini menjadi penyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan lebih banyak karya-karya berbeza dan menarik. Insya-ALLAH nantikan di masa akan datang,” ujarnya.

Antara babak menarik dalam filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan tersebut mendorong pihaknya terus menyajikan lebih banyak filem menarik.

“Kami yakin dengan adanya karya berkualiti dan menepati cita rasa penonton seperti filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, ia akan terus memperkukuhkan kepercayaan penonton terhadap kualiti filem tempatan.

Iklan

“Kami percaya filem tersebut dapat menghiburkan dan memberi semangat kepada penonton dengan jenaka serta lagu-lagu yang boleh dinyanyikan bersama.

“Sejajar dengan seruan kerajaan dan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang ini, kami juga harap filem-filem dengan pelbagai genre seperti komedi, seram, romantik di Astro First mampu sedikit sebanyak mengajak penonton kekal berada di rumah,” katanya.

Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mengisahkan seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya.

Iklan

Husin kembali ke kampung bersama kekasih baru Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak. Manakala Barkoba dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah tinggalkannya dahulu kerana berkahwin dengan lelaki berpangkat pengurus kilang.

Filem itu menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Awie, Kaka Azraf, Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Mat London, Ahmad Yasin, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Avaa Vanja, Siti Elizad Sharifuddin, Raja Azmi, Imuda dan ramai lagi.

Saksikan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa kini berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.