PRIMEWORKS Studios dan peneraju perkhidmatan video OTT terkenal, Viu, tampil berkolaboratif menerusi sebuah drama komedi bersiri terbaharu, Kampung Kolestrol.

Penonton berpeluang untuk menyaksikan drama tersebut menerusi slot Diandra di TV9, jam 8.30 malam, selain dapat ditonton secara percuma dan eksklusif di Viu selepas satu jam tayangan di TV9 bermula 20 April sehingga 2 Jun depan.

Menurut Ketua Pegawai Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, pihaknya teruja dengan kolaboratif tersebut dan berharap drama itu diterima ramai.

“Pastinya penonton tidak sabar untuk menyaksikan gelagat dua artis terkenal tanah air iaiatu Ziana Zain dan Mas Idayu bergandingan menjayakan drama komedi bersiri Kampung Kolestrol.

“Viu pula merupakan platform yang tepat buat penonton kerana ia sentiasa menawarkan kandungan baharu dan membuka langkah kepada drama-drama tempatan untuk ditayangkan di serata dunia,” ujarnya.

Tampil dengan 20 episod, Kampung Kolestrol menceritakan tentang penduduk Kampung Kolestrol yang tidak mengambil kisah tentang amalan diet seimbang sehingga kebanyakan mereka mempunyai masalah kolesterol tinggi.

Iklan

Pada bulan Ramadan Kak Bib (Mas Idayu) dan madunya, Kak Gee (Ziana Zain) menganjurkan pertandingan mengurangkan berat badan di samping mengekalkan gaya hidup sihat.

Iklan

Drama tersebut turut dibintangi Aiman Tino, Sufian Suhaimi, Rusdi Ramli, Lana Nodin, Afifah Nasir, Ifa Raziah dan Ani Mayuni.

Viu Premium boleh dilanggan dengan diskaun 40 peratus (%) pada bulan pertama untuk menonton drama premium Korea, Indonesia, Malaysia, Thailand dan negara-negara Asia yang lain.