ASTRO Shaw terus menyajikan filem menghiburkan menerusi, naskhah Kampung Latah Kena Kuarantin yang bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 9 September (hari ini).

Menariknya filem terbitan Megapine (M) itu mengetengahkan gelagat melatah sebagai subjek kepada latar cerita dan menghimpunkan barisan selebriti yang cukup terkenal dengan latah spontan mereka.

Antaranya ialah Azhan Rani, Nazia Mustafar, Ieda Moin, PS Mansur dan Din Latah. Selain itu, ia turut dibintangi Elisya Sandha, Joey Daud, Bell Ngasri, Ropie, Didie Alias, Azlee Senario dan Wanns Ahmad.

Filem ini mengisahkan tentang Kampung Latah Permai, sebuah kampung unik dan menjadi tumpuan pelancong kerana ia satu-satunya lokasi di dunia yang mempunyai kadar penduduk melatah yang ramai.

Ajin (Azhan Rani) merupakan ketua pemandu pelancong untuk syarikat Latah Permai Travel & Tours, bersama rakan kongsinya, Jamilah (Nazia Mustafar), Eton (Ieda Moin) dan Din (PS Mansur). Gelagat mereka sering menceriakan penduduk kampung dan juga pelancong.

Kampung Latah Permai yang ceria, tiba-tiba dilanda sindrom melatah yang tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai kes merbahaya seperti melatah sehingga koma dan terbunuh rakan atau pasangan.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya berbesar hati apabila terus diberi kepercayaan daripada penerbit-penerbit tempatan untuk menayangkan filem mereka di platform Astro First.

“Filem Kampung Latah Kena Kuarantin menawarkan jalan cerita segar dan padat dengan babak komedi. Bukan itu sahaja, filem ini turut memaparkan nilai budaya dan adat resam masyarakat Melayu.

Iklan

“Jika sebelum ini gelagat latah banyak diketengahkan menerusi program-program televisyen popular seperti Punchline DAC, Opocot Melatah dan beberapa drama komedi, namum kali ini penonton dapat menyaksikan pula celoteh mencuit hati tersebut menerusi filem di platform Astro First.

“Ini merupakan salah satu usaha Astro dalam menyediakan variasi kandungan kepada penontonnya. Kami harap kehadiran filem ini mampu menyajikan penonton dengan pengisian menarik dan dapat membawa keluar seketika daripada tekanan dengan bergelak tawa menerusi hiburan yang disajikan,” katanya.

Iklan

Kampung Latah Kena Kuarantin kini boleh ditonton di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula hari ini.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.