SETELAH beberapa hari mendiamkan diri, pelakon jelita Bollywood, Katrina Kaif akhirnya memberi penjelasan mengenai khabar angin mengatakan dirinya telah melangsungkan majlis perkahwinan secara rahsia dengan Vicky Kaushal.

Menerusi satu sesi wawancara, pelakon filem Bharat itu memberitahu beliau kini sedang merancang sebuah majlis perkahwinan setelah perancangan yang dilakukan sebelum ini berdepan dengan kegagalan.

“Sebelum ini saya pernah merancang untuk berkahwin, tetapi tidak menjadi. Oleh itu, kali ini saya merancang sekali lagi dan kita lihat sama ada ia menjadi atau pun tidak,” ujar aktres kelahiran Hong Kong itu.

Katrina yang kini sedang menjalani penggambaran filem Tiger 3 di Rusia bersama aktor Salman Khan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai berita perkahwinan rahsia antara dirinya dengan pelakon dan penyanyi, Vicky.

Katrina, 38, dan Vicky, 33, dikhabarkan telah menjalin hubungan cinta sekitar dua tahun lalu.

Bagaimanapun, baik Katrina mahupun Vicky, kedua-duanya tidak pernah memberi sebarang kenyataan rasmi mengenai kesahihan hubungan meskipun telah beberapa kali dilihat menghabiskan masa bersama.

Biarpun khalayak masih berteka-teki mengenai kebenaran berita itu, rata-rata mereka meluahkan rasa gembira dan tidak sabar menantikan hari bahagia Katrina dan Vicky.

Iklan

“Sekiranya berita itu benar, saya mengucapkan agar kedua-duanya bahagia selamanya. Kedua-duanya memang sepadan,” kata seorang pengguna media sosial.

Katrina sebelum ini pernah dikatakan menjalin hubungan dengan aktor Salman Khan dan Ranbir Kapoor.

Iklan

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram