PENGARAH dan penerbit terkenal, Michael Ang tidak memandang ringan isu penyalahgunaan dadah dan penipuan sijil vaksin dalam produksi kendaliannya.

Michael, 44, berkata, dia tidak akan sesekali mencampuri urusan peribadi mana-mana kru produksi atau pelakon di luar set penggambaran, namun tidak mahu mereka melanggar etika bekerja.

“Saya pernah maklumkan dengan kru di set, saya tidak ambil tahu apa mereka buat di luar set. Janji bila datang set saya, mereka tidak buat semua itu sebab kalau kena, bukan kau seorang tetapi akan jejaskan nama dan periuk nasi orang lain.

“Secara tidak langsung semua akan terjebak dan pasti ada yang akan pandang serong pada produksi terbabit,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu Sihir, yang diadakan secara maya pada Rabu.

Tambah Michael, dia bersetuju seandainya pihak berkenaan mewajibkan ujian air kencing bagi mengelak kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan kru produksi dan pelakon.

Bagaimanapun pelaksanaan itu tidak boleh dilakukan secara melulu tanpa perbincangan mendalam.

“Saya sekarang banyak program dengan Astro dan ada cadangkan supaya pastikan kru serta pelakon yang terlibat tidak terpalit dengan isu sebegini.

“Dalam masa sama, saya faham untuk buat ujian air kencing itu semuanya melibatkan kos. Sudahlah sekarang penerbit perlu tampung kos ujian calitan.

“Jadi kalau nak tambah satu lagi kos, kita kena fikirkan jalan yang bersesuaian. Pelaksanaan ini bukan sesuatu yang kita boleh terus buat, kita perlu duduk berbincang” jelasnya yang mengutamakan suasana industri seni yang lebih sihat.

Terdahulu, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khir Mohd Noor mencadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperketatkan permohonan mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dengan mewajibkan laporan ujian air kencing bagi mengelak kes penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah kebanyakan penggiat seni yang lain.

Iklan

Patuhi SOP

Dalam pada itu, ditanya mengenai ketidak patuhan sesetengah produksi yang mengambil ringan soal prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, Michael berkata, semua pihak sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan kerja mereka.

“Ini soal tanggungjawab, tak kiralah apa peraturan atau SOP dibuat, tetapi kalau kita tidak bertanggungjawab, tak jujur, masalah sama akan tetap berulang.

“Saya memang ikut SOP yang ditetapkan, perlu lengkap dua dos vaksin dan kru yang terlibat tidak boleh menghantar paparan skrin sijil vaksin, sebaliknya mereka perlu tunjuk sendiri kepada kami.

“Saya tidak mahu bila submit gambar orang lain, tetapi bila masuk ke set orang lain. Saya dah tegaskan pada pengurus produksi, kalau tak lengkap dua dos jangan ambil bekerja,” ujarnya.

Iklan

Michael berkata, bagi membendung penularan Covid-19, dia akan meletakkan semua pelakon dan produksi di sebuah tempat yang sama serta tidak bergaul dengan orang lain.

“Macam sekarang saya sewa satu tempat, semua pelakon dan kru tinggal di sini sepanjang penggambaran.

“Yang masuk set saya pastikan sudah menjalani ujian calitan dan lengkap dua vaksin,” katanya.