Keberanian Shiha Zikir ceburi cabang seni berbeza

shiha zikir
shiha zikir
A
A
A

BIARPUN perjalanan awal dalam bidang seni agak perlahan berbanding rakan seangkatan lain, selebriti serba boleh, Shiha Zikir tidak pernah melihat situasi tersebut sebagai sesuatu yang menghalang dirinya untuk terus mengembangkan bakat.

Lebih sedekad dalam industri, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, meluahkan rasa syukur apabila masih diberikan peluang melakukan kerja seni yang diminati.

Bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah Shiha turut melebarkan bakat sebagai pelakon dan pengacara.

“Alhamdulillah sepanjang berada dalam industri, saya diberikan kesempatan untuk mengembangkan bakat dalam pelbagai cabang seni. Saya gembira dan cukup hargai.

“Biarpun minat lebih kepada nyanyian, namun saya sering mencabar diri untuk mencuba bidang lain termasuk lakonan, pengacaraan dan terbaru sebagai penyampai radio.

“Saya akui populariti memang diperlukan dalam industri, tapi sejak awal lagi, fokus saya tidak terarah kepada itu sahaja, sebaliknya minat dan niat mencari rezeki,” katanya yang tidak mahu nama menjadi sebutan disebabkan kontroversi.

Dalam pada itu, Shiha, mengakui terharu apabila penglibatan dalam bidang lakonan semakin diterima ramai, sekali gus memberi peluang untuknya mengorak langkah lebih jauh.

Tambah wanita berusia 34 tahun itu lagi, tawaran menjadi teraju utama drama Perisik Cinta Tak Diundang yang kini hangat bersiaran di slot Akasia, TV3, pada setiap isnin hingga Jumaat, jam 7 malam, merupakan satu kejutan buat dirinya.

“Saya lebih dikenali sebagai penyanyi dan lakonan adalah sesuatu yang masih baharu. Apabila diberikan peluang sebagai teraju utama dalam drama yang disiarkan menerusi slot Akasia, saya agak gementar.

“Bagaimanapun saya berterima kasih kepada pengarah dan barisan pelakon lain yang banyak membantu saya menghidupkan watak Medina dengan baik mengikut tuntutan naskhah tersebut.

“Karakter kali ini sangat mencabar kerana saya perlu bermain dengan pelbagai emosi berbanding lakonan sebelumnya yang lebih terarah kepada watak-watak komedi,” kata Shiha yang digandingkan bersama Andee Bernadee.

Selain Perisik Cinta Tak Diundang, selebriti berpesonaliti ceria itu bakal tampil dengan dua lagi drama baharu yang akan menemui penonton.

Akur ketentuan jodoh

Mengulas tentang pandangan skeptikal sesetengah pihak terhadap penglibatan penyanyi dalam dunia lakonan, Shiha lebih melihat perkara itu dari sudut positif.

“Masing-masing ada pandangan sendiri, tetapi bagi saya situasi tersebut memberi peluang kepada seseorang artis menimba pengalaman berbeza dan belajar benda baharu dalam cabang seni berlainan.

“Begitu juga dengan trend sebelum ini apabila ramai pelakon jadi penyanyi. Mereka juga melalui situasi sama.

“Apa yang penting di sini adalah usaha dan kesungguhan seseorang. Berikan yang terbaik dalam apa dilakukan. Kalau tak bagus, boleh belajar dan perbaiki diri agar kita tidak menyusahkan orang lain,” tegasnya.

Dalam sibuk merencana kerjaya seni, Naib Juara program Mentor musim kelima yang kini sedang meledak dengan single berjudul Irama itu, tidak mengelak apabila diajukan tentang soal jodoh.

“Memang ramai yang bertanya bila saya nak menamatkan zaman solo. Apa yang boleh saya katakan, saya sendiri masih menunggu bila waktu itu akan tiba.

“Sebelum ini pun saya ada berkongsi perancangan tentang perkara itu, tetapi sehingga kini masih belum menjadi kenyataan. Jadi tak mahulah nanti peminat fikir saya asyik bercakap benda sama.

“Jangan bimbang, jodoh telah ditetapkan. Bila tiba masa, saya akan berkongsi dengan semua,” kata Shiha.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shiha Zikir (@shihazikir)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca