Kecaman berganti doa, Zizi Kirana luah rasa syukur

ZIZI KIRANA
ZIZI KIRANA
A
A
A

HIJRAH. Itulah yang paling tepat untuk menggambarkan perubahan penampilan selebriti kesayangan ramai, Zizi Kirana yang kini memilih untuk berhijab penuh semenjak Ramadan lalu.

Jika sebelum ini penampilan itu hanya dilakukan bagi menghormati bulan mulia, kini pemilik nama sebenar Nur Fazelah @Zizie Mad Tahil kekal dengan pilihannya.

Penampilan baharu itu juga sekali gus menghentikan segala kecaman dan kata-kata negatif yang sering dilemparkan sebelum ini gara-gara imej seksi yang cukup sinonim dengan dirinya.

Berganti kata semangat dan doa-doa indah yang tidak putus, Zizi, 36, mengakui sangat bersyukur dengan apa yang dimiliki kini.

“Alhamdulillah ramai yang mendoakan dan saya rasa bersyukur sangat dengan diri saya hari ini.

“Sebenarnya dari dulu saya tidak selesa untuk berkongsi secara terbuka tentang hal berhijab ini kerana pada saya, jika tiba masa saya memilih untuk berhijab penuh, saya akan lakukan sahaja tanpa perlu memberitahu sesiapapun,” ujarnya.

Tambah Zizi, penampilan itu bukan sahaja menggembirakan diri sendiri, tetapi juga ibunya yang berkongsi rasa sama.

“Ibu paling gembira dan senang hati dengan perubahan ini. Memang dari dulu dia suruh pakai tudung, tetapi tidak pernah memaksa apatah lagi mengherdik saya untuk tujuan itu.

“Apa yang dia lakukan adalah nasihat, nasihat dan nasihat. Alhamdulillah lama-kelamaan nasihat itu masuk ke dalam hati saya,” akuinya.

Dalam pada itu, pemenang Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-35, menerusi lagu EH! itu juga mencuri perhatian ramai apabila kini kerap mendapat undangan menjayakan program keagamaan di televisyen terutamanya untuk sesi mengaji al-Quran.

“Semuanya di luar jangkaan dan saya percaya itu adalah rezeki yang diaturkan ALLAH untuk saya sepanjang pandemik ini.

“Biarpun tidak ada persembahan pentas, tetapi hampir setiap minggu menerima undangan menjayakan pelbagai program keagamaan, terutamanya untuk belajar mengaji dengan Tarannum dan sebagainya.

“Bila terlibat dengan program-program begini, semakin ramailah ustaz dan ustazah yang saya kenal dan sekali gus membuka ruang lain pada saya untuk terus memperbaiki diri,” katanya.

Tidak hanya itu, Zizi turut memanjangkan aktiviti tersebut bersama peminatnya ketika mengadakan sesi siaran langsung di laman Instagramnya (IG Live).

“Selalunya saya tak rancang pun nak buat sesi berkenaan. Ia berlaku secara spontan apabila ada pengikut yang tiba-tiba minta buat selawat, qasidah atau pun Tarannum al-Quran.

“Saya tak buat seorang, tetapi dengan bantuan rakan-rakan ustaz atau ustazah. Kalau ikutkan hati, memang tak berani nak buat sebab segan kalau salah. Namun niat saya hanya satu, nak kongsi ilmu dan sama-sama belajar dengan pengikut IG saya.

“Tak sangka pula ramai yang berminat dan ikut IG live itu. Malah ada sanggup tunggu sampai habis sesi tersebut yang kadang-kala berlarutan hingga dua jam,” ujarnya terharu.

Kekal muzik hip hop

Berkongsi perubahan dirinya, Zizi mengakui sukar mengungkapkan perasaan sebenar yang dirasai.

“Jujurnya saya memang tak perasanpun perubahan pada diri sendiri, tetapi ramai orang sekeliling yang rapat dengan saya berkata, saya kini lebih tenang.

“Saya akui sebelum ini saya memang seorang yang tidak sabar dan cepat marah. Jadi bila ada yang cakap begitu, saya sendiri rasa beryukur.

“Apa pun saya masih menjadi diri sendiri dari segi personaliti dan tidak akan menjadi orang lain,” ujarnya.

Menyentuh tentang kerjaya seninya pula, selebriti kelahiran Sabah itu menegaskan, dia masih berdiri dengan muzik hip hop sebagaimana sebelum ini dan perjuangannya dalam muzik, masih sama.

“Mungkin ada yang beranggapan bila berhijab penuh, saya akan beralih kepada lagu-lagu nasyid dan meninggalkan hip hop.

“Hakikatnya saya masih buat muzik hip hop dan yang berubah hanyalah penampilan saya sahaja. Saya tak nampak masalah di situ.

“Bagaimanapun bila ada masa tertentu sesuai buat lagu selawat atau zikir, saya akan buat juga. Semuanya boleh diatur,” katanya yang kini dalam persiapan untuk tampil dengan single baharu tidak lama lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca