Kecaman berganti pujian, Zizi Kirana mahu terus jadi diri sendiri

November 9, 2020
Oleh Wawann Mohd

TAK kenal, maka tak cinta. Mungkin itulah gambaran yang boleh diberikan kepada penyanyi versatil, Zizi Kirana yang sentiasa mencuri perhatian ramai dengan penampilan dan penghasilan karya-karyanya yang penuh kelainan.

Mengakui tidak mudah untuk menempatkan diri dalam industri, pemilik nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 35, menjelaskan, pelbagai percaturan dan pengorbanan telah dilakukan sepanjang 11 tahun bergelar anak seni.

Kini usaha kerasnya itu berhasil apabila kejayaan demi kejayaan mendampinginya, sekali gus membuka mata ramai orang tentang bakat seninya.

Terbaru, Zizi buat pertama kalinya bakal bertanding di peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 untuk melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu (AJL) akan datang menerusi lagu EH!.

“Mungkin bagi orang lain, ia hanya perkara kecil kerana sekadar layak semi final, tetapi pada saya sendiri ia sebuah pencapaian cukup bermakna kerana untuk kerjaya nyanyian secara solo, ini kali pertama saya sampai ke tahap ini.

“Jadi saya tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira, apatah lagi ramai peminat turut menaruh harapan tinggi agar lagu ini lolos ke pentas akhir AJL nanti,” ujarnya.

Mengimbas kembali perjalanan seninya, Zizi berkata, dia tidak pernah berputus asa mengejar impiannya, meski mengambil masa agak lama sebelum berada pada kedudukannya hari ini.

“Banyak yang saya belajar dalam tempoh 11 tahun lalu dan tiada apa yang perlu dikesalkan kerana pengalaman itulah yang benar-benar membentuk saya yang hari ini.

“Banyak saya belajar daripada orang-orang hebat yang saya jumpa menyebabkan saya tidak pernah ghairah mengejar itu dan ini untuk ke depan.

“Saya tahu dan percaya rezeki itu ALLAH yang tentukan dan sekarang alhamdulillah satu demi satu saya peroleh termasuk perkara yang tidak terfikirkan pun sebelum ini,” luahnya kepada SinarPlus.

Iklan

Selawat Qamarun jadi doa indah

Membenarkan kata-katanya itu, siapa sangka nama Zizi kini hangat diperkatakan apabila lagu berkonsepkan selawat dan qasidah berjudul Purnama hasil kolaboratif pertamanya bersama UNIC mendapat sambutan luar biasa.

Jika sebelum ini Zizi sering dikritik kerana gaya dan penampilannya, kini anak kelahiran Sabah itu menerima pujian tidak putus apabila tampil dengan alunan selawat Qamarun yang begitu indah.

“Alhamdulillah, jujurnya saya sendiri tiak pernah menyangka mendapat perhatian sebegini daripada orang ramai kerana selawat Qamarun itu hanyalah projek suka-suka yang saya buat untuk meraikan bulan Maulidur Rasul baru-baru ini.

“Sebenarnya saya mempunyai banyak minus one selawat yang saya buat untuk simpanan sendiri.

“Kebetulan seminggu sebelum sambutan Maulidul Rasul, saya mesej Ustaz Fakhrul UNIC minta dia membetulkan sebutan saya pada satu selawat yang saya buat dan di situlah tercetusnya idea berkolaboratif bersama mereka,” jelas Zizi.

Iklan

Dalam masa sama, Zizi mengakui terharu dengan doa dan kata-kata positif yang diberikan peminat terhadapnya.

“Saya seperti tidak percaya muzik video selawat Purnama itu kini sudah meraih lebih 500 ribu jumlah tontonan dalam tempoh beberapa hari dilancarkan.

“Paling istimewa, komen-komen yang diberikan sangat indah untuk saya terima dan sematkan dalam hati. Rasa terharu sehinggakan saya menitiskan air mata apabila terlalu ramai mendoakan kebaikan buat saya.

“Saya aminkan doa semua orang, mudah-mudahan ada kebaikan untuk kita semua nanti,” katanya.

Sementara itu, Zizi dalam masa sama juga sibuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Tentu, terbitan Joox Originals Super Producer yang dilancarkan pada 21 Oktober lalu.

“Tentu merupakan projek istimewa bersama Joox dan ia merupakan percubaan pertama saya tampil dengan lagu berentak perlahan begini.

“Single ini sangat bermakna bukan hanya kerana kelainan yang dibawakan itu, tetapi juga tentang cerita dalam lagu ini tentang kehidupan kita hari ini yang berdepan detik sukar termasuk depresi.

“Saya sendiri berdepan dengan beberapa kehilangan pada tahun ini termasuk pemergian sahabat kesayangan saya, Allahyarham Sandra Dianne pada September lalu, menjadikan karya ini begitu dekat di hati saya,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Zizi Kirana)

About Wawann Mohd

Biodata Penulis