Kehilangan tiada ganti, perginya bintang seni 2021
SELAIN mengharungi kesuraman industri seni disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang memberi impak besar pada dunia dan manusia sejagat, kita turut berduka atas kehilangan ramai bintang yang banyak menyumbang bakti kepada dunia hiburan tanah air. Sebelum tahun 2021 menutup tirai, Hiburan Sinar berkongsi barisan bintang yang telah pergi meninggalkan kita sepanjang tahun ini.
3 Februari: Jamali Shadat, 78
Pelawak veteran Datuk Jamali Shadat, meninggal dunia di kediaman anaknya, di Klang akibat sakit tua. Allahyarham mengalami kemurungan selepas pemergiaan isterinya sejak dua tahun lalu.
Jamali bukan sahaja pelawak biasa, tetapi seorang ‘stand up’ komedi yang terkenal dengan kebolehannya meniru pelbagai suara. Antara yang paling sinonim dengan dirinya ialah watak Atan dan Atuk.
7 April: Noryati Taib, 63
Pelakon drama Noryati Taib, yang cukup sinonim dengan panggilan ‘Makcik Petir’ meninggal dunia di kediamannya di Pasir Gudang, Johor. Allahyarham menghidap kencing manis sebelum kesihatannya merosot selepas disahkan positif Covid-19 pada Februari lalu.
13 April: Subi, 55
Bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Subarma Mohtaruddin atau dikenali sebagai Subi meninggal dunia di Hospital Serdang selepas sehari menjalani pembedahan buang usus.
16 April: Abu Bakar Omar, 73
Pelakon drama terkenal, Abu Bakar Omar menghembuskan nafas terakhir di Kedah Medical Centre selepas mengalami masalah jantung.
26 Mei: Ramasundran Rengan 57
Pelakon dan pelawak veteran, Ramasundran Rengan atau Rama meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur, sekitar jam 2 pagi selepas mengalami sesak nafas. Rama terkenal dengan Rajoo dalam sitkom Spanar Jaya, selain turut aktif dalam pementasan teater.
30 Jun: Tony Spider
Bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar meninggal dunia dalam tidur di studio rakaman Luncai Emas milik komposer terkenal, Datuk M. Nasir di Sungai Buloh, sekitar jam 1 pagi.
11 Julai: Benjy, 43
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryl Benjamin Ibrahim meninggal dunia akibat penyakit asma di Hospital Medan, Indonesia. Allahyarham ketika itu menjalani hukuman penjara 11 tahun di Penjara Tanjung Gusta dan dikebumikan di Medan.
24 Julai: Baharuddin Omar, 85
Pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Anjang Aki meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam. Allahyarham cukup aktif dalam bidang lakonan pada era 1970 dan 1980an.
9 Ogos - Siti Sarah, 37
Setelah 65 jam bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19, Siti Sarah Raissuddin, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak. Sarah, Shuib dan tiga orang anaknya sebelum itu dijangkiti Covid-19 daripada pembantu rumah mereka.
21 Ogos: Mimi Loma, 75
Pelakon dan penyanyi era 1960an, Mimi Loma, meninggal dunia ketika sedang tidur di kediamannya, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak Kuala Lumpur. Allayarham merupakan adik kepada Biduanita Saloma dan Seniwati Mariani.
21 Oktober: Mazlan Tahir, 56
Aktivis teater terkenal, Mazlan Tahir menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya akibat serangan jantung. Antara teater lakonannya ialah Lantai T.Pinkie, Muzikal Mahathir, Muzikal Uda & Dara, Ibu Zain, Sirah Junjungan dan lain-lain.
24 Oktober - Mamat Khalid, 58
Pengarah dan penerbit Mamat Khalid, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak. Allahyarham sebelum itu telah jatuh pengsan ketika berada di restoran miliknya akibat serangan jantung.
18 November: Fetty Dzul, 63
Dramatis popular era 1970-an dan 1980-an Fetty Dzul meninggal dunia meninggal dunia akibat Covid-19 tahap lima di Hospital Selayang. Allahyarham Fetty atau nama sebenarnya Fatimah Abd. Rahim sebelum itu telah lebih dua minggu bertarung melawan virus Covid-19.
Ketika hayatnya, Allahyarham cukup dikenali dengan watak-watak antagonis dan pernah membintangi drama kepolisan terbitan Datuk Yusof Haslam Remang-Remang Kota Raya, Harimau Rimba dan Debu-Debu Kota sekitar tahun 1980-an.
10 Disember - Gmie Screen, 50
Vokalis kumpulan Screen, Gmie, 50, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat masalah buah pinggang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang