Kejutan Fantastic Beast: The Secrets of Dumbledore

A
A
A

FANTASTIC Beasts, naskhah ‘spin off’ daripada filem Harry Potter kini kembali dengan sekuel terbaharunya, Fantastic Beast: The Secrets of Dumbledore yang kini hangat ditayangkan di pawagam bermula 14 April lalu.

Filem yang ditunggu ramai itu merupakan kesinambungan daripada naskhah Fantastic Beasts and Where to Find Them yang dihasilkan pada tahun 2016 dan Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald (2018).

Kali ini ia mengisahkan tentang watak Albus Dumbledore dalam misi menyelamatkan dunia sihir dan menghalang Gellert Grindelwald daripada meneruskan rancangan jahatnya.

Namun disebabkan ketidakmampuannya untuk melawan bekas rakan baiknya itu disebabkan perjanjian darah, Dumbledore meminta bantuan daripada beberapa ahli sihir lain termasuk Newt Scamander.

Grindelwald mahu meluaskan kuasa dan menguasai dunia sihir menerusi kempen pemilihan presiden untuk dunia sihir yang dikenali sebagai International Confenderation Of Wizard.

Sekuel terbaharu ini ternyata lebih menarik daripada filem terdahulu dalam pelbagai aspek termasuk jalan cerita, sekali gus memberi harapan baharu kepada pengikut setia francais tersebut.

Sepanjang filem ini, banyak kejutan ditampilkan menjadikan penonton lebih teruja mengikuti cerita sehingga ke penghujungnya.

Penampilan makhluk-makhluk ajaib seperti Qilin, Blast-Ended Skrawts, Snallygaster, Pickett, Diricawls dan lain-lain dalam filem ini juga cukup menarik perhatian di mana setiap satunya mempunyai simbol tertentu, selain kekuatan tersendiri dalam menyokong karakter yang terlibat.

Ditambah dengan penggunaan kesan visual yang hebat dan mempersonakan turut menjadikan Fantastic Beast: The Secrets of Dumbledore sebagai sebuah naskhah yang cukup menarik.

Tidak hanya itu, barisan pelakon yang membintangi filem ini juga tampil dengan lakonan terbaik dalam menghidupkan watak yang diwakili. Mads Mikkelsen ternyata memberikan lakonan berkesan menerusi watak Grindelwald yang nampak tenang namun sebenarnya sangat kejam.

Bagaimanapun, filem arahan David Yates ini dilihat agak meleret dengan babak-babak tidak perlu, selain kewujudan karakter yang tidak begitu menyokong jalan cerita.

Malah babak kemuncak yang menyaksikan pertarungan antara Dumbledore dan Grindelwald yang sepatutnya menjadi epik itu tidak begitu meninggalkan impak.

Apa-apa pun Fantastic Beast: The Secrets of Dumbledore tetap menghiburkan dan menjadi antara filem yang tidak harus dilepaskan. Jangan ketinggalan menonton filem ini di pawagam berdekatan anda.

Fantastic Beast: The Secrets of Dumbledore

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Pengembaraan/fantasi

Durasi: 2 jam 23 minit

Pengarah: David Yates

Pelakon: Eddie Redmayne, Katherine Waterston, Dan Fogler, Jude Law, Mads Mikkelsen

Tarikh Tayangan: 14 April 2022

Edaran: Warner Bros Pictures

Bintang: 3.5 daripada 5

(FOTO: WARNER BROS PICTURES)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca