PENANTIAN peminat selama tujuh tahun akhirnya terjawab apabila penyanyi Yuna yang kini aktif mencipta pengaruh di pentas antarabangsa kembali tampil dengan karya berbahasa Melayu cukup menyentuh sanubari berjudul Menanti.

Karya tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna sendiri bersama penyanyi rap antarabangsa, penggubah lagu dan penerbit muzik yang berpangkalan di Berlin, Jerman, Kenny J Macartney dan diterbitkan oleh Yuna Music.

Pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai yang kini masih berkelana di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat itu berkata, doa tidak mahu terburu-buru menghasilkan album baharu, sebaliknya memilih fokus terhadap single dan EP yang bakal dilancarkan pada April ini.

“Selepas berakhirnya pandemik, sekitar Ogos 2021, saya dan suami pulang ke LA setelah lebih 18 bulan berada di Malaysia.

“Kami kemudiannya pergi ke sebuah tempat bernama Joshua Tree untuk menulis beberapa buah lagu dan salah satunya adalah Menanti. Ketika itu, karya ini masih belum dihasilkan sepenuhnya dan hanya ada melodi sahaja.

“Setelah membelek fail-fail lama pada Januari lalu, saya terjumpa melodinya semula dan kemudiannya menulis lirik. Mulanya saya mahu menulis dalam bahasa Inggeris tetapi apa yang keluar adalah bahasa Melayu,” imbasnya.

Yuna mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan lagu Menanti.

Menanti masih kedengaran ‘signature’ bunyi Yuna, tetapi mempunyai pembaharuan dalam susunan melodi yang segar dengan elemen kemelayuan moden, sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi antarabangsa.

Bercerita lebih lanjut mengenai single tersebut, Yuna berkata, karya itu adalah sebuah lagu cinta yang menceritakan tentang kerinduan mendalam terhadap seseorang yang jauh atau yang telah pergi, tetapi masih lagi terpatri di hati.

“Ilham dan karya yang baik itu selalunya mengambil masa untuk dihasilkan, malah tidak boleh dipaksa. Ia mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan dan hanya dirakamkan di rumah sahaja,” jelasnya.

Lebih tenang

Karya tersebut juga menjadi jawapan kepada Yunationals (panggilan peminat Yuna) yang tertunggu-tunggu penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Dan Sebenarnya itu kembali menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu selepas banyak tampil dengan karya berbahasa Inggeris.

“Susah hendak berjanji dengan peminat di Malaysia setiap tahun kerana komitmen yang tinggi di LA. Lagi pun saya tidak suka menghasilkan sesuatu secara sambil lewa kerana tidak adil untuk peminat.

Iklan

“Saya tidak percaya dengan kaedah multi-tasking kerana itu adalah kesalahan saya dulu. Kini saya lebih fokus terhadap satu-satu perkara sahaja,” katanya.

Belajar daripada pengalaman lalu, Yuna kini mahu fokus kepada satu-satu perkara dalam satu masa.

Wanita berusia 36 tahun ini mengakui cabaran dan pengalaman hidup yang dilaluinya sebelum ini sedikit sebanyak membentuk keperibadiannya sekarang.

“Dulu saya terlalu mengambil serius perkara yang trivial tetapi kini lebih tenang. Saya telah kecap pelbagai perkara yang saya sendiri tidak sangka akan perolehinya.

Iklan

“Sebelum ini saya seorang yang terlalu bekerja keras dan sebenarnya ia tidak bagus untuk diri saya. Jadi kini saya lebih fokus dengan perkara yang lebih penting seperti kesihatan, keluarga dan kehidupan.” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.