LEBIH tiga dekad membina kerjaya dalam bidang seni suara, penyanyi terkenal Ramlah Ram bersyukur masih mampu bertahan dan diterima peminat sehingga ke hari ini.

Akui Ramlah, 56, minat mendalam terhadap muzik menyebabkan dia masih setia menampilkan karya baharu demi memastikan diri terus relevan dalam industri.

Terkini, penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu sekitar tahun 1985 itu, hadir dengan single terbaharunya, Aku Ubatinya Lagi.

Menariknya, single pop balada itu buat pertama kalinya menyaksikan gandingan Ramlah bersama komposer Ajai, yang tentunya menjanjikan magis tersendiri dalam karya itu.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, lagu Aku Ubatinya Lagi dirakamkan di Studio Wake The Baby Records sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada awal Mac, tahun lalu.

“Ajai sangat teliti ketika menghasilkan lagu ini, malah saya nampak dia begitu bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik dan bukan sekadar ‘asal siap’ sahaja.

“Pertama kali bekerjasama dengan Ajai, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya untuk lagu ini.

Iklan

“Saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan akhirnya lagu ini dapat disiapkan sepenuhnya meskipun mengambil sedikit masa,” ujarnya.

Tambah Ramlah, kehadiran single baharu itu sedikit sebanyak dapat mengubati rindu peminatnya.

“Memandangkan single terdahulu, Masar Cinta yang dihasilkan pada penghujung tahun 2019 dan disusuli lagu raya, Kemenangan menemui peminat pada April lalu masih jadi perhatian, kami membuat keputusan melancarkan single baharu ini pada bulan Jun.

Iklan

“Sebenarnya perancangan untuk memperdengarkan lagu ini lebih awal kepada peminat tertangguh disebabkan pelaksanaan PKP 3.0, sekali gus membataskan persiapan untuk mempromosikan lagu ini.

“Namun muzik video rasmi lagu Aku Ubatinya Lagi sudahpun dilancarkan pada Jumaat dan boleh ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia yang bertindak selaku pengedar dan pemegang hak cipta lagu ini,” jelasnya.

Berkongsi formulanya terus kekal bertahan dalam industri, Ramlah berkata, selain disiplin diri, dia sentiasa bersikap terbuka menerima perubahan muzik mengikut era.

“Walaupun mula membina nama pada era 1980an, namun saya sentiasa bersikap terbuka dan menerima pembaharuan dalam muzik mengikut peredaran zaman.

“Tidak hanya berpegang pada satu genre, saya sentiasa mencuba muzik terkini termasuk kolaboratif dengan bakat baharu seperti yang pernah dilakukan bersama Sleeq dan Caprice sebelum ini.

“Ringkasnya, saya kekalkan identiti sedia ada, tetapi dalam masa sama cuba menyerap muzik baharu yang dibawa penyanyi generasi muda menerusi kerjasama dengan mereka,” katanya yang bernaung di bawah pengurusan RRG Entertainment.