KETIKA semua orang berhadapan dengan pandemik Covid-19, pasti di sebaliknya ada pelbagai kisah suka duka.

Namun, apakah yang anda akan lakukan jika terkandas bersendirian di sesuatu tempat selama berminggu-minggu dan diganggu dengan kejadian seram?

Selami rasa tersebut dengan menyaksikan filem terbaru, Kelaster yang akan berada di Astro First saluran 480 mulai 24 September 2020.

Kelaster merupakan sebuah naskhah seram yang menampilkan pelakon-pelakon terkenal seperti Nora Danish, Azhan Rani, Achey, Amyza Aznan dan bintang Hero Remaja 2020, Meerqeen. Manakala Razif Ajiboy Rashid bertanggungjawab sebagai pengarah, penulis skrip dan lakon layar.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kali ini pihaknya menampilkan sebuah karya seram hasil terbitan produksi baru, D Alpha Legacy.

“Tentunya kami rasa teruja dengan kerjasama kali pertama ini dan tertarik dengan latar cerita yang dipersembahkan di mana ia mengangkat isu terkini dan masih segar untuk dipertontonkan.

“Kami percaya babak-babak di dalam filem juga pasti akan mengimbau kenangan penonton ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antaranya, pengalaman terkandas dan tidak dapat pulang ke kampung, alami kisah seram, melakukan aktiviti popular seperti membuat video TikTok dan banyak lagi.

Iklan
Kelaster turut dibintangi Azhan Rani.

Lebih istimewa, Kelaster menampilkan kemunculan semula pelakon Nora Danish menerusi filem selepas dua tahun serta kemunculan pertama kali pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020, Meerqeen.

“Kami harap, filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan kepada penonton semata-mata tetapi ia turut menyampaikan mesej dan nilai positif yang tersirat,” ujarnya.

Iklan

Kelaster mengisahkan tentang Ain (Nora Danish) bersama Usop (Meerqeen) dan Zul (Achey) tidak dapat pulang ke kampung dan terpaksa duduk di kolej kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka telah diganggu dengan pelbagai kejadian pelik dan misteri. Lebih mendebarkan apabila mereka mendapati telah berlakunya satu insiden ngeri sehingga setiap gerak geri seperti diperhatikan.