BERPELUANG bekerjasama dengan figura yang disegani dalam arena muzik, Malique, meninggalkan kenangan yang cukup manis buat dua pelapis seni tanah air, Ara Johari dan Lil J.

Masakan tidak, lamaran untuk berkolaboratif menerusi penghasilan lagu Keliru diibaratkan bagai bulan jatuh ke riba.

Bercerita detik awal kerjasama mereka, Lil J atau nama sebenarnya Rvijay Raj berkata, dia pada awalnya berkongsi masalah kemurungannya menerusi sesi siaran langsung di Instagram yang turut disertai Ara dan secara kebetulan ditonton oleh Siqma.

“Siqma dan Mr. General (panggilan buat Malique) yang mula-mula menyatakan hasrat untuk berkolaboratif. Mereka juga mempunyai material yang sesuai dengan situasi yang saya hadapi.

“Tawaran itu tentu sekali sukar ditolak dan diibaratkan sebuah penghormatan buat saya dan Ara apabila dapat menyanyikan lagu daripada Mr. General.

“Beliau juga seakan mengerti apa yang saya rasai dan berjaya menterjemahkan ke dalam lagu yang menceritakan tentang kekeliruan dalam hidup saya,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media pelancaran Keliru yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Keliru merupakan lagu hasil ciptaan Malique bersama Siqma dan Muhaimin.

Seperti karya terdahulu Malique yang rata-ratanya mempunyai maksud yang mendalam, Keliru juga mempunyai maksud yang tersendiri yang boleh diselami oleh jiwa-jiwa yang tercari-cari jawapan selama ini.

“Lagu ini menceritakan tentang kehilangan seseorang yang amat penting dalam hidup kita dan mengapa mereka hilang dari pandangan.

“Mungkin ramai yang tak tahu, saya telah kehilangan figura seorang bapa sejak kecil dan terdapat sebuah ruang kosong dalam diri saya yang tak mungkin dapat diisi oleh sesiapa.

“Idea di sebalik single ini datangnya daripada saya sendiri. Sudah lama saya pendamkan hasrat untuk menceritakan pengalaman hidup sewaktu membesar dan masalah yang saya lalui melalui sebuah lagu.

“Ia agak peribadi untuk saya nyatakan hal yang sebenarnya tetapi bagi mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama pasti mengerti apa yang cuba saya sampaikan.

“Apa yang ingin saya katakan buat sesiapa yang pernah melalui situasi sama seperti saya adalah; anda tidak keseorangan,” ujar bakat baharu berusia 22 tahun itu.

Iklan

Single yang bernuansa hip hop dengan selingan ritma ala rock perlahan oleh Ara menambah perisa eksklusif terhadap Keliru.

Ara mengikuti rapat kisah hidup Lil J dan memberi sokongan terhadap rakan seindustrinya itu.

Kejutan di studio

Dalam pada itu, berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan Malique dalam single Keliru ini, Ara berkata, dia terkejut apabila akhirnya dapat bertemu empat mata dengan ikon dalam genre hip hop di Malaysia itu.

“Saya membesar dengan lagu-lagu Malique atau lebih tepat lagu-lagu Too Phat. Malique pula sekarang memang sudah lama tidak berjumpa, jadi saya tidak menjangkakan dia akan berada di studio ketika sesi rakaman.

Iklan

“Jadi bila sampai di studio dan lihat dia ada bersama, rasa macam mimpi. Terharu bercampur bangga kerana artis muda seperti saya diberikan penghargaan sebesar ini,” katanya.

Walaupun baharu sahaja melancarkan single Tetap Aku Cinta pada Jun lalu, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 25, tetap berharap Keliru akan mendapat sambutan hangat.

“Bagi saya tidak ada isu saya baharu sahaja lancarkan lagu. Tetap Aku Cinta dan Keliru adalah dua genre yang berbeza.

“Saya harap peminat dan pendengar akan menyukai lagu ini,” akhirinya.