PEMERGIAN insan tersayang tentunya memberi kesan mendalam buat sesiapa sahaja yang melaluinya, lebih-lebih apabila dihadapi secara tiba-tiba.

Begitulah yang dilalui oleh anak Allahyarham Mamat Khalid iaitu Mohd Khalid Amen, yang mengakui masih terasa seakan-akan pengarah prolifik itu masih ada bersamanya.

“Saya selalu bayangkan arwah masih hidup dan sedang siapkan penggambaran di mana-mana. Inilah pendorong semangat buat saya setiap hari.

“Semua orang akan lalui hal sama, iaitu kehilangan seseorang yang mereka sayangi, jadi saya faham bagaimana perasaan mereka.

“Cuma saya risaukan mama, masih jelas terbayang kesedihan di wajahnya” katanya.

Amen yang juga pengarah filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali berkata, ketiadaan seorang figura ayah dalam keluarga adalah pengalaman memeritkan apatah lagi Allahyarham menjadi tempat dia berguru dalam bidang perfileman sejak kecil.

Justeru, kerinduan terhadap arwah bapanya itu bagai tiada penghujung lebih-lebih lagi mengingatkan kenangan ditempuhi bersama sekeluarga setiap kali Ramadan.

“Aura kehadiran papa masih kuat dirasai. Rasa macam dia ada lagi bersama-sama kami sekeluarga menjalani rutin harian.

“Paling dirasakan apabila Ramadan kali ini cukup berbeza sebab selalunya papa yang akan merancang terlebih awal di mana tempat kami nak berbuka puasa.

Iklan

“Sejujurnya, saya akui bila terkenangkan arwah papa, air mata ada kalanya menitis terutama ketika nak tidur malam,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Program Ramadan Astro di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buah tangan terakhir

Sempena Ramadan, buah tangan terakhir diarahkan Mamat iaitu program berkonsepkan masakan, Warung Pak Jabit akan menemui penonton bermula 11 April, jam 6 petang.

Iklan

Menerusi program itu, Mamat bersama seorang lagi anaknya, Adam, akan memperkenalkan menu resipi tradisional yang sudah lama dilupakan kaedah pembuatanya.

Siri program yang turut diarahkan oleh Amen itu diselangkan adegan lucu watak popular daripada barisan pelakon Kampung Pisang.

Mamat disahkan meninggal dunia pada 12.30 tengah malam di Hospital Slim River, Perak akibat serangan jantung pada 24 Oktober tahun lalu.