Kembali berlakon selepas enam tahun, Datin Sofea Jane pilih naskhah yang relevan

A
A
A

PELAKON berbakat besar, Datin Sofea Jane mengakui cintanya terhadap bidang seni tidak pernah pudar biarpun sudah enam tahun meninggalkan arena itu selepas mengikuti suaminya berpindah ke luar negara.

Sofea, 49, berkata, dia baru sahaja pulang ke tanah air pada penghujung tahun lalu dan masih berharap dapat berkolaboratif dengan mereka yang mempunyai naskhah progresif dan relevan.

“Saya kembali ke Malaysia hujung tahun lalu. Enam tahun tinggal di Australia tetapi cinta saya terhadap dunia seni tidak pernah pudar.

“Walaupun sudah berada di tahap usia yang berbeza, saya berharap dapat bertemu dan menjalin kolaboratif dengan mereka yang mempunyai naskhah yang relevan,” katanya pada sidang akhbar media drama terbaharu Astro Originals berjudul I-Tanggang.

Tambah Sofia, dia bersedia untuk kembali aktif berlakon, namun sebagai pelakon, dia sentiasa mencari sesuatu yang berada di luar kotak.

“Saya mahu mencari sesuatu yang relevan dengan budaya landskap sosial kita. Bekerja dengan mereka yang tak takut untuk hasilkan sebuah cerita yang sesuai dengan masa kini.

“Sebagai pelakon, saya hanya mahu menjadi sebahagian daripada yang menyampaikan kisah,” jelasnya.

Enam tahun menetap di Australia, cinta Sofea Jane terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai drama bersiri I-Tanggang, Sofea berkata, drama itu disiarkan bertepatan ketika ramai rakyat Malaysia bergelut dengan kesihatan mental kerana situasi pandemik.

Katanya, secara tidak langsung naskhah itu dapat mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan mental.

“Saya rasa I-Tanggang perlu disiarkan dan ia bersesuaian dengan situasi masa kini, di mana sejak pandemik melanda, banyak isu kesihatan mental diperkatakan.

“Bagaimanapun, isu sebegini selalu diketepikan. Jadi saya harap I-Tanggang dapat menjadi medium penyampaian dan satu revolusi dalam penceritaan,” ujarnya.

Drama arahan tiga pengarah, Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak itu mengangkat kisah mengenai pesakit mental yang menghidap Munchausen Syndrome by Proxy.

Selain Sofea yang memegang watak sebagai Doktor Tini, drama I-Tanggang juga menampilkan barisan pelakon hebat lain, antaranya Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh, Syed Nahar, Rosdeen Suboh dan Yuyun Hikmah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca