SETELAH lama berteka-teki tentang status dirinya, akhirnya bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim membuka mulut dan mengesahkan sudah kembali hidup solo.

Perkahwinan kali ketiganya dengan juruterbang berstatus duda dua anak, Aizat Al Jefri pada 2016 itu berakhir pada 22 Julai tahun lalu.

Menurut Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim, 42, bukan mudah untuknya menerima ketentuan tersebut menyebabkan dia memerlukan sedikit masa mengumpul kekuatan diri, sebelum berkongsi kepada umum.

“Kami bercerai talak satu. Saya diceraikannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Punca atau sebab kenapa kami berpisah itu, biarlah saya simpan dan tanggung sendiri. Saya tak mahu membuka aib sesiapa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fiza mengakui kegagalan perkahwinan buat kali ketiga itu pastinya akan mengundang pandangan serong orang ramai terhadap dirinya.

“Saya sedar dengan status pernah berkahwin tiga kali, pasti ada yang akan memandang serong.

“Saya hanya manusia biasa, yang tak lepas diuji. Saya tak hidup dek puji, tak mati dek keji,” katanya yang dikurniakan seorang anak, Baby Aleena, 3, daripada perkahwinan tersebut.

Iklan

Fiza bagaimanapun menjelaskan buat masa ini dia belum terfikir untuk kembali aktif dalam bidang seni.

“Saya belum terfikir nak berlakon atau bernyanyi semula setakat ini. Selama ini pun, saya membuat ulasan produk dan perkhidmatan di Instagram. Saya juga terbuka jika ada tawaran bergelar duta selepas ini.

“Saya bersyukur ada yang datang membuka jalan untuk menggalakkan diri menyertai cabang kerja baharu.  Mungkin saya akan mempertimbangkan kerja itu,” katanya yang sukar melelapkan mata apabila memikirkan nasibnya selepas ini.

Iklan

Terdahulu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12, sebelum membawa Haluan masing-masing pada 2010, selepas hampir empat tahun berkahwin.

Diikuti perkahwinan keduanya bersama penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013, sebelum bercerai pada 2016.