KEMBARA Siti Nordiana Alias dalam industri seni sudah bermula semenjak tahun 1999 tatkala dia baru sahaja berusia 15 tahun.

Sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (SPM) dua tahun kemudian, Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana tekad untuk meneruskan kerjaya seni dalam bidang seni suara.

Perjalanan Nana juga sama seperti penyanyi lain yang ada turun dan naiknya. Dia juga pernah melalui detik terduduk dan hampir dilupakan, namun berkat usaha tidak pernah putus membawa wanita berusia 37 tahun ini kembali ke landasan seni suara.

Kini setelah dua dekad dalam industri seni, anak kelahiran Sendayan, Negeri Sembilan ini mengakui masih belum puas berkarya.

“Sepanjang 20 tahun dalam industri seni, saya rasa banyak lagi perkara belum saya capai.

“Saya belum rasa apa yang dibuat sudah sempurna, banyak lagi kekurangan.

“Sebagai manusia biasa, saya belum puas setiap kali membuat persembahan dan merasakan boleh buat lebih baik lagi,” ujarnya kepada SinarPlus.Ditanya tidakkah dia teringin melebarkan sayap ke luar negara, Nana yang mula hits dengan lagu Cinta Hanya Sandaran mengakui menyimpan hasrat itu.

Jelas Nana, situasi dunia yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19 membuatkan dia meletakkan ke tepi dahulu impian tersebut.

“Saya rasa mana-mana artis pun mesti teringin melebarkan sayap ke luar negara, begitu juga dengan saya.

“Insya-ALLAH kalau ada rezeki, kenapa saya perlu menolak. Tetapi dalam situasi semasa kini, saya belum boleh mengatur perancangan,” jelasnya.

Turut terjejas akibat pandemik

Dalam pada itu, ditanya perkembangannya mengharungi pandemik dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) sejak 1 Jun lalu, ibu kepada  Muhammad Rayyan Nakhaie Mohd Faizal, 13, mengakui turut terkesan.

Tidak mengeluh dengan ujian daripada ALLAH SWT itu, Nana mengambil inisiatif lain agar dapat menampung perbelanjaan serta komitmen bulanannya.

“Boleh dikatakan 60 peratus pendapatan saya terganggu sejak PKP tahun lalu, tetapi saya pelbagaikan cara lain supaya tak senyap sahaja dan dalam masa sama boleh menjana pendapatan.

“Selain buat persembahan menerusi media sosial, saya jual CD dan tudung jenama sendiri menerusi jualan dalam talian.

“Ada ketikanya saya terpaksa keluarkan simpanan saya sendiri. Cuma saya bernasib baik sebab ada juga tawaran buat kempen dan daripada situ dapat juga wang. Walaupun tak semewah dulu, saya bersyukur,” katanya.

Nana mengakui turut sama terjejas sejak pandemik berlaku dan terpaksa menggunakan simpanan yang ada untuk menanggung perbelanjaan bulanan. (Foto : Universal Music Malaysia)

Mengakui rindu untuk mengharungi kembali kehidupan normal sebelum pandemik berlaku, Nana berharap pandemik segera reda dan individu yang dipanggil untuk mengambil vaksin tidak melepaskan peluang itu.

Iklan

“Rindu untuk berkumpul ramai-ramai, pergi jayakan persembahan, penggambaran dan juga menghadiri majlis ilmu.

“Saya berharap sesiapa yang sudah terpilih mengambil vaksin tidak melepaskan peluang itu. Saya sendiri masih merebut peluang untuk mengambil vaksin tetapi belum ada rezeki. Jadi sesiapa yang dah dapat, jangan lepaskan peluang itu.

“Sama-samalah kita putuskan rantaian Covid-19 dan ikut SOP (prosedur operasi standard),” ujarnya.

Dua projek baharu

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Nana baru sahaja tampil dengan single berjudul Cukup Derita Itu yang juga runut bunyi drama berjudul sama yang ditayangkan di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Katanya, dia mengambil masa untuk merakamkan  lagu  ciptaan  Tam Spider dan  lirik  oleh  Siti  Rosmizah itu bagi memastikan pendengar dapat merasai penderitaan dan kisah lagu tersebut.

Iklan

“Sesiapa yang tengok drama, pasti boleh faham kenapa lagu ini cukup derita. Tetapi bagi yang tak tengok drama, saya nak pastikan mereka merasai derita itu.

“Walaupun lagu ini adalah forte saya, tetapi saya letakkan lebih usaha untuk memastikan kesedihan cerita lagu ini sampai kepada pendengar,” jelasnya.

Nana menjadi antara 50 orang juri dalam program terbaharu Astro, All Together Now Malaysia yang akan mula ditayangkan di Astro Ria, 9 malam ini. (Foto : Azrul Rafie)

Selain lagu baharu, Nana juga menjadi antara 50 orang juri dalam program terbitan Astro Ria iaitu All Together Now Malaysia, yang mula ditayangkan hari ini.

Bercerita pengalamannya terlibat dalam program tersebut, Nana berkata, dia mendapat banyak pengalaman berharga.

“Saya kagum dengan peserta terlibat dan banyak belajar daripada mereka. Program ini secara tidak langsung juga dapat mengeratkan ukhwah dengan barisan selebriti lain,” katanya.