Kempen Apa Khabar Anak Seni, tarik perhatian selebriti tanah air

APA KHABAR ANAK SENI
APA KHABAR ANAK SENI
A
A
A

LEBIH setahun pandemik Covid-19 tercetus, diikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan dilaksanakan telah menyebabkan industri kreatif hampir lumpuh.

Semua aktiviti seni terpaksa dihentikan, sekaligus menyebabkan ramai pekerja seni terkesan dan hilang punca pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Peka dengan situasi semasa yang semakin meruncing, Deligasi Anak Seni (DAS) tampil memperkenalkan kempen Apa Khabar Anak Seni? di laman sosial sebagai langkah menghubungkan seluruh pekerja industri industri kreatif dengan tujuan untuk bertanya khabar dan mengambil tahu antara sesama mereka.

Kempen itu ingin mengambil maklum tentang keadaan mental, emosi, kewangan, serta kehidupan semasa pekerja industri kreatif dan bagaimana mereka menggunakan kemahiran seni kreatif masing-masing sewaktu pandemik.

Pelakon dan pengacara, Daiyan Trisha, menyatakan sokongan penuh terhadap kempen berkenaan, apatah lagi menyadari ramai ramai pekerja industri kreatif yang terjejas disebabkan pandemik.

“Ketika pandemik ini, industri kreatif diberhentikan atau ditutup sementara menyebabkan rata-rata pekerja dalam industri tak dapat bekerja.

“Tiada persembahan, tiada penggambaran dan tiada produksi. Kempen ini bertujuan untuk kita bertanya khabar antara sesame ketika dalam tempoh PKP ini.

“Sejujurnya saya sangat rindu untuk beraksi dan buat penggambaran. Berkongsi tenaga kreatif sesama anak seni. Apa-apa pun, kita doakan agar satu hari kita boleh kembali berkerja,” katanya yang kini aktif membuat konten dan menulis lagu di rumah.

Sementara itu, pelakon Sharifah Amani pula mengharapkan agar generasi akan datang dapat belajar daripada sejarah yang berlaku dalam industri hari ini.

“Saya percaya sebagai seorang anak seni, tugas kita lebih dari hiburan sahaja. Kita mencipta kisah sekarang, jadi mungkin suatu hari di masa hadapan, generasi akan datang boleh belajar daripadanya,” ujarnya.

Dalam masa sama, kempen Apa Khabar Anak Seni juga bertujuan membantu usaha pekerja industri kreatif yang sedang menggunakan alternatif lain dalam memberikan perkhidmatan seni kreatif mereka.

Penggunaan tanda pagar #ApaKhabarAnakSeni, diharap dapat menghubungkan lebih ramai selebriti dan pekerja industri kreatif, termasuklah kru belakang tabir untuk mengambil berat sesama mereka.

Kempen tersebut juga dilihat mampu menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang nasib anak-anak seni ketika pandemik, sekaligus menjadi platform komunikasi dua hala antara pekerja seni dan pihak-pihak lain secara langsung atau tidak langsung.

Sejak Isnin lalu, ramai selebriti dan pekerja industri kreatif mula menggunakan #ApaKhabarAnakSeni sebagai tanda sokongan mereka terhadap kempen tersebut.

Selain Daiyan Trisha dan Sharifah Amani, kempen Apa Khabar Anak Seni turut mendapat sokongan daripada pelakon Nadiya Nisaa, Ruzana Ibrahim, Nadia Aqilah, Sherry Ibrahim, Zahiril Adzim, MeiFen, Amerul Affendi dan ramai lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca