BAGI memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) ini, TV AlHijrah tampil dengan slot drama bersiri baru yang dinamakan sebagai Slot Qalbu.

Slot Qalbu akan menyiarkan drama bersiri baru, menarik dan memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian penonton.

Sebagai permulaan, Drama Bujang Haji telah ditayangkan bermula 8 Jun lalu sebanyak 13 episod siaran, setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang.

Karya arahan Isqandar Jebat di bawah terbitan Hujan Lebat Sdn Bhd adalah antara drama yang diterbitkan dan disiarkan dengan Kerjasama Dana Pembangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Drama ini menyaksikan gandingan pelakon lama dan baru seperti Chiwan Chilok, Din Latah, Jalil Hamid, Aliff Yasraf, Kartina Aziz, Rosnah Mat Aris, Hamdan Senario, Norlia Ghani serta penampilan istimewa oleh Nasha Aziz.

Bujang Haji mengisahkan tentang tiga sahabat bujang iaitu Yus, Adi dan Ucup yang bekerja sebagai penjual ikan segar di pasar harian.

Iklan

Semuanya berubah apabila Haji Isa datang ke gerai mereka untuk membeli ikan. Haji Isa mahu mengadakan kenduri doa selamat, menjamu laksa kepada orang kampung sebagai tanda syukur dia terpilih melaksanakan ibadah haji dalam masa terdekat.

Iklan

Bermula detik itu, Yus, Adi dan Ucup seperti terpanggil dan mendapat semangat baru untuk turut ke kota suci Makkah melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Namun pelbagai konflik berlaku sehingga menduga mereka untuk membuat persiapan. Dapatkah mereka melaksanakan impian mereka itu?