'Kena ada jati diri dan jangan mudah rapuh' - Che Ta
CHE TA antara salah satu artis yang tidak pernah kalah dalam penampilan. Sentiasa elegan, menawan dan mempesona.
Malah, walaupun empunya diri sudah mencecah usia 49 tahun, namun beliau kelihatan seperti wanita 30-an. Penulis tidak berseorangan memberi pendapat dalam hal itu kerana ramai memikirkan hal yang sama.
Semakin menginjak usia, rezeki Che Ta atau nama lengkapnya Rozita Abu Bakar terus melimpah-ruah. Masakan tidak, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu masih lagi menjadi rebutan banyak syarikat yang mahu melantiknya sebagai duta atau jurucakap produk.
Terbaharu, Che Ta diberi kepercayaan menjadi duta kempen Jols Luxe Fabrics for Rozita Che Wan sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut baru-baru ini.
Ditebak apakah rahsianya yang masih kekal relevan sehingga ke saat ini, Che Ta tersenyum lebar sebelum meluahkan kata-kata.
"Saya tak simpan apa-apa rahsia, tetapi saya percaya dengan cara kita membawa diri. Namun demikian, saya tak dinafikan, mungkin untuk usia sebegini agak susah untuk menjadi duta sebab banyak jenama memilih individu yang lebih muda. Dalam hal ini, apa yang saya boleh katakan, semua itu adalah rezeki daripada-NYA," katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.
Biarpun sering menjadi pilihan, Che Ta turut tidak terlepas daripada melalui pelbagai dugaan hidup. Pun begitu, isteri kepada pelakon, Zain Saidin itu mempunyai pendekatan tersendiri untuk menanganinya.
Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar menegaskan, beliau sentiasa berfikiran terbuka dan tidak mahu cepat mengalah dengan segala cabaran yang terpaksa direntasnya.
"Dalam hidup saya, tiada istilah fasa merundum. Normallah hidup ini bila ada turun dan naik. Jadi, saya sentiasa ingatkan diri saya untuk reda dengan apa sahaja ujian yang datang. Saya akan kata pada diri sendiri, tidak mengapa, ALLAH akan beri yang lebih baik.
"Bila saya fikirkan apa yang peroleh sekarang, saya sedar, bahawa ini semua adalah berkat kesabaran saya sebelum ini. Saya juga percaya, setiap ujian yang ALLAH berikan, itu tanda DIA mahu kita dekatkan diri dengan-NYA," katanya yang mengakui jarang berasa sedih, tetapi tidak juga terlalu gembira.
Nasihat buat wanita
Justeru, sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac lalu, Che Ta mahu semua kaum Hawa di Malaysia terus kental dan pada masa sama, menukar satu persepsi.
Apa yang dimaksudkan selebriti jelita itu? Jelasnya, beberapa dekad dulu, wanita sering dikatakan hanya berada di belakang lelaki. Namun, kini situasi itu sudah berbeza.
"Sebetulnya sekarang, apa yang lelaki buat, wanita pun boleh buat. Namun, apa yang wanita buat, lelaki belum tentu boleh buat. Malah wanita kini lebih berkebolehan melakukan apa sahaja. Mereka boleh bekerja, uruskan rumah tangga, anak dan macam-macam lagi," ujarnya penuh semangat.
Pelakon versatil tersebut menambah, dalam era milenial ini, wanita diingatkan agar pandai berdikari, rajin dan yang paling penting, perlu kuat semangat serta tidak bergantung harap kepada lelaki semata-mata.
"Saya berpendapat, apabila seseorang wanita itu bekerja, dia lebih dihormati suami. Saya cakap berdasarkan pengalaman saya.
"Saya rasa wanita di luar sana jangan terlalu mengharapkan pasangan. Kena ada jati diri dan jangan mudah rapuh. Jangan sesekali berendam air mata jika ditakdirkan suami pergi dulu. Kita kena kuat," katanya yang sangat mengagumi semangat ibunya membesarkan tujuh cahaya mata sendirian selepas kematian suami tercinta pada usia muda.
Sebelum kami mengakhiri wawancara, penulis sempat bertanyakan perkembangan baharunya.
Ungkap Che Ta penuh teruja, beliau kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Mem dan Bibik-Bibik untuk siaran TV3.
Lebih menarik, selebriti berkenaan berpeluang bergandingan dengan suaminya, Zain dan pelakon hebat lain seperti Nabila Razali dan Aprena Manrose.
Kredit photo : Instagram Rozita Che Wan & Blackpepperproduction
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang