Kenangan Jamal buat persembahan rumah VVIP sepanjang Syawal

A
A
A

MEMASUKI tahun kedua meraikan Aidilfitri dalam suasana norma baharu, penyanyi Datuk Jamal Abdillah mengakui kali ini lebih bersedia beraya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Apa yang penting bagi Jamal, 62, dia dapat meraikan 1 Syawal bersama isteri, Zai Izzati Khiruddin dan anak-anak.

“Saya dan isteri tidak buat persiapan raya sangat tahun ini, kalau ada pun hanya untuk baru raya anak-anak sahaja.

“Pada awalnya kami merancang nak bawa anak-anak bercuti raya tahun ini, tetapi apabila kes Covid-19 naik mencanak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan, kami fikir berada di rumah adalah keputusan terbaik,” akuinya.

Menurut penyanyi lagu raya, Assalamualaikum itu, sambutan raya tetap meriah dengan keletah anak-anaknya, El Isaac Yamani yang kini berusia enam bulan, Nur Azura Yamani, 1, Ahmad Zaki Yamani, 14 dan Osama Yamani, 19.

Mengimbau kenangan raya paling manis sepanjang bergelar artis lebih empat dekad, Jamal berkata, kemeriahan sambutan raya dulu antara yang dikenang.

“Dulu sambutan raya sangat meriah, bukan sahaja bersama keluarga tetapi juga sesama rakan artis.

“Kesibukan menjelang raya sangat-sangat dirasai. Sebelum balik beraya kita akan terlibat dengan pelbagai program TV untuk siaran hari raya bersama rakan-rakan artis lain.

“Selepas raya pula sibuk memenuhi undangan persembahan di majlis rumah terbuka sehingga tidak menang tangan,” katanya.

Jamal bersama isteri, Zai Izzati dan anak-anak.

Tambah Jamal, setiap kali raya, pendapatannya sebagai penyanyi naik berganda, sekali gus memberi peluang untuknya berkongsi rezeki bersama keluarga.

“Dulu artis mempu menjana pendapatan tinggi kerana kami mendapat banyak tawaran persembahan ketika sambutan raya. Kiranya beraya sambil bekerja.

“Biarpun menyanyi satu atau dua lagu, tetapi bayaran yang diberikan agak lumayan, apatah lagi jika artis tersebut ada lagu raya popular.

“Saya sendiri sebulan Syawal jadual dipenuhi dengan pelbagai undangan persembahan raya di rumah pemimpin negara dan orang-orang kenamaan. Itu rutin wajib setiap tahun,” katanya yang akur dengan situasi berbeza dilalui sejak dua tahun ini.

 

(FOTO: JKKN)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca