BELUM reda isu memakai niqab tanpa pelitup muka, timbul pula dakwaan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) melanggar satu lagi prosedur operasi standard (SOP) apabila menaiki kenderaan lebih tiga orang.

Berdasarkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tiga individu sahaja dibenarkan berada di dalam satu kenderaan.

Namun, lain situasinya apabila warganet mendakwa kelihatan empat individu menaiki kenderaan sama dengan Neelofa selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada Isnin.

Membaca satu persatu komen di laman sosial Facebook Sinar Harian, rata-rata netizen mempersoalkan tindakan terbabit.

Antaranya:

– “Kalau tengok video Neelofa pergi IPD Seremban boleh nampak Neelofa, suami, peguam dan pemandu. Satu kereta empat orang. Sebelum ini kerajaan ada beritahu satu kereta tiga orang sahaja. Macam mana ni?.”

– “Bukan ke kes ini melibatkan dia (Neelofa) je. Dapat pula suami rentas teman. Lepas itu satu kereta bukan tiga orang ke? Kenapa dia berempat.”

– “SOP tiada terma dan syarat ‘jarak, waktu & tempat’. Kalau guna alasan macam ini sebagai contoh susahlah tugas pihak berkuasa.

“Semua orang ada justifikasi. Lain kali kena sensitif sebab dunia memerhati. 50 meter bukannya jauh.”

– “Dine in di dalam kereta tak boleh,tumpang naik kereta (lebih tiga orang) boleh pula?.”

Bagaimanapun, enggan membiarkan spekulasi berterusan Neelofa memberi penjelasan ringkas menerusi laman Facebook.

Iklan

Tuturnya, beliau hanya menumpangkan peguam dari balai polis ke mahkamah yang terletak bersebelahan pada jarak sekitar 50 meter sahaja.

“Kenderaan peguam saya diletakkan di ruangan parkir mahkamah. Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan sama.

“Kami telah menghubungi pihak IPD Seremban dan mereka sedia maklum tentang perkara ini,” jelas beliau.

Menurut Neelofa, beliau dan suaminya, PU Riz (Muhammad Haris Mohd Ismail) menaiki kenderaan sendiri dipandu pemandunya untuk pulang ke Kuala Lumpur manakala peguamnya pula pulang memandu kenderaan sendiri.

“Polis boleh meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami menguruskan peguam dipekarangan mahkamah atau dari luar balai polis.

Iklan

“Diharapkan ini dapat menjelaskan perkara yang berlaku selain mengelakkan salah faham,” kata Neelofa dalam kenyataannya.

Untuk rujukan semua, SOP PKP3.0 menetapkan had jumlah di dalam kenderaan kepada tiga orang manakala bilangan orang dalam kenderaan membawa barangan bergantung kepada jumlah dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

Penumpang menaiki pengangkutan awam pula mesti patuh pada penjarakan fizikal dan mengikut SOP ditetapkan.