PENINGKATAN jumlah kes harian Covid-19 mendorong Astro menangguhkan penganjuran Anugerah Meletop ERA 2021 (AME2021) yang sepatutnya berlangsung pada Ahad di Putrajaya International Covention Centre (PICC).

Astro menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan 24 jam sebelum AME2021 berlangsung memaklumkan satu tarikh baharu akan diumumkan kelak.

“Astro sentiasa menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan setiap mereka yang terlibat dengan mana-mana produksi terbitan kami.

“Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak berwajib sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Di samping itu, kami sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif untuk melaksanakan pemeriksaan pra kesihatan dan ujian saringan Covid-19 secara menyeluruh ke atas semua yang terlibat sebelum bermulanya mana-mana program terbitan Astro,” demikian pengumuman rasmi yang dibuat.

Syarikat penyiaran swasta itu juga turut menjalankan saringan kepada seluruh kru yang bakal menyertai produksi AME2021 dan hasilnya sejumlah individu telah dikenal pasti untuk dikecualikan.

“Ini termasuk mereka yang harus menjalani proses kuarantin kendiri dalam tempoh waktu seperti yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

“Walaupun mereka telah dikesan lebih awal dan tidak dibenarkan masuk ke lokasi rakaman AME2021, kami tetap mengambil langkah lebih berjaga-jaga dan tidak ingin mengambil sebarang risiko berkenaan dengan keselamatan mana-mana pihak memandangkan statistik harian semakin meningkat,” ujarnya.

Astro turut memohon maaf kepada semua yang terlibat terutamanya barisan artis, para penaja, rakan-rakan niaga, penonton khususnya pengundi dan kru produksi di atas kejadian yang tidak diduga ini.

Iklan

“Sekali lagi, ingin ditekankan di sini bahawa keputusan ini telah diambil kerana keselamatan mereka yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Terima kasih di atas sokongan anda. Kami akan memantau situasi semasa dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak,” akhirinya.