TATKALA mendengarkan setiap untaian lagu yang dihasilkan oleh Haqiem Rusli, minda penulis terus melayang mengingatkan dongeng klasik yang popular dalam kalangan kanak-kanak berjudul Raja Midas.

Dalam ceritera itu, sang raja memiliki kuasa sakti. Setiap barangan yang disentuhnya pasti akan berubah menjadi emas.

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, analogi situasi berkenaan boleh disamakan dengan bakat yang dimiliki oleh jejaka kelahiran Hulu Langat, Selangor itu.

Masakan tidak, setiap lagu yang dihasilkannya seperti Tergantung Sepi, Segalanya, Mimpi, Lembah Kesepian, Selamat Tinggal Sayang dan Adlina Marie terus hit dan menjadi siulan ramai sekelip mata. Usah cerita tentang kekerapan lagunya berkumandang di corong radio. Pastinya dari pagi sehingga ke malam.

Bagaimana pula dengan profil kejayaan-kejayaan lain? Jika sudah menjadi pemilik trofi pada Anugerah Juara Lagu ke-32, apa lagi yang perlu dikatakan? Lebih membanggakan, ketika itu empunya diri baru berusia berusia 18 tahun!
Sejak itu, limpahan populariti tidak pernah padam dan namanya sentiasa meniti pada bibir peminat dalam pelbagai lingkungan umur. Betapa hebatnya anak muda ini.

Terbaharu, pengakuan untuk menamatkan zaman bujang yang dilakukan sewaktu bersiaran secara langsung di platform Instagram sekitar akhir Mei lalu telah membuatkan namanya hangat bagai pisang goreng panas.

Berdasarkan rakaman tersebut, Haqiem mengakui akan mendirikan rumah tangga pada akhir tahun ini dan mengharapkan agar peminat mendoakan yang terbaik untuknya.

Pastinya perkhabaran gembira tersebut menjadi satu perkara yang seronok untuk dikongsikan. Bagaimanapun, pelakon drama rantaian Kebaya Kasut Kanvas itu lebih senang menyimpan sendiri identiti wanita dambaannya itu. Ungkap beliau, biarlah ia terungkai setelah mereka sah bergelar suami isteri.

Bukan mahu menyombong, tetapi semuanya bertujuan untuk menjaga privasi bakal suri hatinya, selain memberi ruang buat beliau melakukan persiapan.

Bagi penyanyi yang terkenal dengan nama kelab peminat Qiemilio itu, tiada apa yang perlu digembar-gemburkan selagi masanya belum tiba.

“Insya-ALLAH jika tiada perkara yang menghalang, majlis akan berlangsung sama ada bulan November atau Disember depan,“ tuturnya yang tertawa tatkala ditanya adakah dirinya mengikut jejak langkah penyanyi antarabangsa, Justin Bieber yang berkahwin ketika masih muda.

Bapa muda

Saat ditebak mengenai kesediaannya untuk berumah tangga pada usia muda, dalam nada perlahan beliau hanya mengatakan, perkara itu sekadar perancangan yang belum diketahui takdirnya.

Tegas beliau, sama ada bersedia atau tidak, segalanya perlu diharungi apabila waktunya telah tiba. Membuktikan kesungguhannya untuk berumah tangga, Haqiem berterus-terang bahawa beliau sudah menghadiri kursus kahwin pada tahun lalu sebagai persiapan melangkah ke gerbang perkahwinan.

“Pada saya, kematangan itu tidak diukur pada umur kerana ia lebih dilihat kepada tindakan individu itu sendiri. Lagipun apa yang saya ingin lakukan ini adalah perkara baik. Jadi, saya fikir tidak perlu dipersoalkan tentang kematangan pasangan yang berkahwin pada usia muda.

“Lagipun, ini hanya satu perancangan. Sekiranya ia berada dalam qada dan qadar ALLAH YANG MAHA ESA, Insya-ALLAH segalanya akan terjadi,“ ujarnya penuh optimis.

Penulis kemudian mengusiknya tentang cahaya mata pula. Ya, memang terlalu awal untuk ditanya, tetapi apa salahnya, bukan?

Sambil melepaskan ketawa kecil, Haqiem secara terbuka menjawab: “Pastinya setiap pasangan yang berumah tangga inginkan zuriat. Sekiranya sudah ditakdirkan saya menjadi bapa, saya akan belajar bagaimana untuk menjadi bapa yang terbaik.

“Dalam tempoh berumah tangga itu juga, saya akan belajar bagaimana menjadi suami dan ayah mithali. Dalam tempoh sekarang juga, saya ada bertanya pendapat daripada beberapa pihak tentang tip atau petua mengharungi alam baharu yang bakal saya tempuh kelak.“

Tanam cili

Penulis kemudian menoktahkan tentang perihal perkahwinan. Kami kemudian bersembang mengenai perancangan masa depannya pula.

Kata pencipta lagu Jatuh, Bangun itu, keinginan untuk disatukan dengan belahan hatinya turut menjadi sebahagian daripada rencananya.

Namun, kompasnya kini lebih terarah kepada mencuba cabang perniagaan baharu, selain menguruskan kedai makan, SanThai Village Steamboat & BBQ Buffet sedia ada miliknya.

Ujar Haqiem, menjadi anak seni, likunya lebih tajam. Jadi, bergantung sepenuhnya dalam bidang tersebut, bukan pilihan yang tepat. Tambahan lagi, pandemik Covid-19 yang masih mencengkam negara menyaksikan ramai pemain seni saling ‘bertarung nyawa‘ untuk bernafas disebabkan kesempitan kewangan.

Dugaan itu memang sulit untuk dihalang, kata penyanyi itu. Namun bak kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Buat masa sekarang kedai makan tidak dapat beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Tiada apa yang dapat dilakukan kerana saya menjalankan perniagaan kedai makan stimbot.

“Oleh itu saya meluaskan perimeter rezeki dengan melakukan aktiviti penanaman cili bersama dengan ahli keluarga sebagai persediaan masa depan,“ kongsinya.

Tutur selebriti itu lagi, meskipun baru setahun jagung berjinak-jinak dalam sektor pertanian, keterlibatannya bukan sekadar cakap kosong atau main-main.

“Saya serius dengan bisnes baharu ini dan besar harapan saya agar ia membuahkan kejayaan,“ katanya penuh semangat.

Iklan

Kepada SinarPlus, Haqiem mengakui bahawa dirinya tidak kekok untuk melakukan kerja yang keringatnya seperti buruh kasar.

Pengakuan tersebut sedikit mengejutkan. Pada benak penulis, mana mungkin seorang penyanyi merangkap komposer, penulis lirik dan pelakon popular sanggup melakukan kerja di bawah terik mentari.

“Ya, betul (ketawa). Saya ini kampung boy (budak kampung) yang melakukan kerja-kerja di kebun. Lagipun saya membesar di kawasan kampung, jadi perkara itu agak biasa untuk dilakukan,“ kata Haqiem.

Cintakan dekorasi

Ternyata populariti yang dikecapi tidak menghalang bekas anggota kumpulan The Beesings itu bercerita lanjut tentang sisi dirinya yang lain bersama penulis.

Barangkali ramai yang sukar untuk percaya bahawa ilham menghasilkan lagu antaranya diperoleh ketika dirinya memancing. Namun, itulah pengakuan Haqiem.

“Saya memang seorang suka memancing dan alhamdulillah, idea untuk hasilkan beberapa naskhah adakalanya lahir daripada hobi ini. Bagi saya memancing juga secara tidak langsung mendidik saya agar bersabar dan menggunakan waktu yang ada dengan perkara berfaedah,“ titipnya.

Melihat kepada tangga usianya, mungkin ramai yang menyangkakan pemuda itu lebih banyak meluangkan waktu bersama rakan sebaya atau istilah nakal, berfoya-foya.

Dakwaan itu pantas disangkal olehnya. Bagi Haqiem, selain menghulurkan mata kail, duduk di rumah juga banyak membantu mendapatkan lebih banyak gagasan untuk berkarya.

Iklan

Akuinya, bukan mudah untuk menghasilkan sebuah lagu. Kadangkala memakan masa lebih daripada sebulan. Kalau bernasib baik, ia hanya mengambil tempoh sekitar tiga hari sudah dapat disiapkan.

“Inspirasi itu milik ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG. Karya-karya ini juga merupakan rezeki kurniaan terhebat-NYA. Kekreatifan, gerak hati dan ilham juga semua datang dengan sendiri dan tidak boleh dipaksa.

“Justeru, saya lebih selesa menghabiskan masa di rumah kerana rumahku, syurgaku. Rumah memberikan keselesaan untuk bekerja dan menghasilkan lagu,“ katanya.

Sesuai dengan kecenderungannya ‘berdamping‘ dengan rumah, anak ketiga daripada empat beradik itu juga gemarkan dunia dekorasi. Wah! Banyak bakat terpendam yang dimiliki oleh selebriti versatil ini.

“Saya gemar menghias studio rakaman dengan pelbagai hiasan menarik yang dapat mewujudkan mood dan suasana berbeza. Pada masa sama, saya juga suka mengubah kedudukan perabot di studio agar memberikan sudut pandang yang berlainan.

“Mungkin untuk membeli perabot baharu setiap hari agak satu pembaziran.Kebiasaannya saya akan beli perhiasan yang kecil dan comel untuk diletakkan sebagai perhiasan,“ katanya.

Kehidupan Haqiem nampaknya tidak pernah sepi. Langit hidupnya sentiasa berwarna-warni dan dunia seni bukan satu perintang untuk beliau tidak bersosial.  Buktinya, usahawan muda itu mempunyai pasukan bola sepaknya sendiri yang dikenali sebagai YTJT Gang.

“Setiap kali ada masa lapang, rutin saya adalah bermain bola sepak bersama YTJT Gang,“ katanya.

Beliau bersama rakan-rakannya itu turut memiliki akaun YouTube yang ditubuhkan sejak 2014.  Video yang dikongsikan mereka di saluran tersebut lebih bersifat komedi, selain aktiviti seni Haqiem.