SEJAK awal menceburi bidang seni dan bergelar penyanyi, misinya bukan hanya untuk menghiburkan orang ramai, tetapi jauh di sudut hatinya mahu turut menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat buat semua.

Biarpun namanya kini dijulang populariti, Khai Bahar masih berpegang misi sama dan membuktikan menerusi penghasilan single lagu-lagu ketuhanan dan mesej positif kepada masyarakat.

Terbaru, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 27, menampilkan pula album zikir berjudul Damba Ketenangan, sempena bulan Ramadan yang buat kali kedua disambut dalam norma baharu.

“Sejak dari dulu, selain daripada menghiburkan orang, saya sentiasa berharap agar karya-karya saya dapat memberikan manfaat kepada mereka yang mendengar.

“Saya sering mencari peluang untuk tampil dengan lagu-lagu ketuhanan dan mempunyai mesej positif untuk dikongsi, meskipun lebih diterima ramai menerusi lagu-lagu komersial.

“Jika sebelum ini saya hanya menampilkan single daripada tema tersebut, kini saya tampil dengan album berjudul Damba Ketenangan yang memuatkan lima zikir, selain sebuah lagu yang bercerita tentang kematian,” katanya bersyukur apabila album itu terjual sebanyak 500 unit dalam tempoh tiga hari.

Khai Bahar (tiga dari kiri) bersama orang kuat di sebalik penerbitan album zikir Damba Ketenangan yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.

Menurut Khai, pada ketika pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada kehidupan orang ramai, dia percaya ada yang tertekan dalam perjuangan untuk terus bertahan.

“Penghasilan album zikir ini tepat pada masanya di mana ketika ramai orang tertekan dengan macam-macam perkara kesan daripada pandemik.

“Saya berharap zikir-zikir yang dikongsi dalam album ini dapat memberi ketenangan dan manfaat kepada mereka yang mendengar,” ujarnya.

Mengambil contoh dirinya, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Bayang itu mengakui pernah tertekan tanpa diketahui sebabnya.

“Semua orang mempunyai masalah dan tekanan dalam diri masing-masing, cuma kita tidak tahu bagaimana nak mengatasinya.

“Ada juga yang tidak tahu punca kerana ia datang secara tidak sengaja tanpa sedar apa yang kita fikirkan disebabkan tiada ketenangan dalam diri.

“Saya sendiri pernah tertekan kerana terlalu sangat ikutkan perasaan dan hampir kemurungan, tapi alhamdulillah ia dapat diatasi secara perlahan-lahan,” jelasnya.

Rindu sambut Ramadan bersama keluarga

Berkongsi sambutan Ramadan pada tahun ini, anak kelahiran Perlis itu mengakui rindu untuk berbuka puasa dan melakukan solat Terawih bersama keluarga.

“Disebabkan kita semua masih belum dibenarkan untuk merentas negeri, saya menyambut Ramadan bersama abang dan kakak ipar sahaja di Kuala Lumpur, sama seperti tahun lalu.

“Rindu nak berbuka puasa dengan keluarga di kampung, pergi bazar Ramadan dan berterawih bersama-sama.

“Teringin nak merasa kembali suasana seperti itu kerana ia merupakan rutin yang kita lakukan sejak kecil dan terhenti disebabkan pandemik sejak setahun lalu,” ujarnya yang akur dengan kehidupan norma baharu.

Iklan

Dalam pada itu, akui Khai, aktiviti seninya berjalan seperti biasa pada bulan Ramadan mengikut jadual dan perancangan yang telah diatur syarikat pengurusannya.

Apatah lagi dengan penghasilan album zikir Damba Ketenangan, Khai mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti promosi album itu.

“Selepas banyak benda tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, alhamdulillah sekarang kita dapat sambung kembali kerja.

“Sepanjang Ramadan ini, aktiviti seni diteruskan macam biasa kerana jadual sudah ditetapkan dari awal oleh pihak pengurusan.

“Insya-ALLAH selain aktiviti promosi album zikir, saya juga akan sibuk dengan beberapa program TV untuk siaran Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, Khai yang bakal tampil dengan drama terbaru lakonannya, Kisah Cinta Rumi itu berkata, dia sedikit ralat apabila tidak dapat mengadakan aktiviti sempena bulan Ramadan bersama para peminat sebagaimana kebiasaan.

“Walaupun ada kelonggaran mengadakan aktiviti sosial dengan prosedur operasi standard (SOP), saya rasa perlu untuk menangguhkan dulu aktiviti bersama peminat.

“Memanglah seronok kalau dalam jumpa dan buat aktiviti macam dulu, tetapi keadaan ketika ini tidak mengizinkan,” akhirinya.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)