RAMADAN dan Syawal kali ini terntunya menjadi detik paling bermakna buat pasangan selebriti popular, Fazura dan Fattah Amin apabila pertama kali meraikan bersama puteri kesayangan, Nur Fatima Aisya.

Lebih tiga tahun mendirikan rumah tangga, kehadiran cahaya mata sulung itu ternyata banyak mengubah kehidupan pasangan ini.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 38, sambutan Ramadan dan seterusnya Syawal dia dan suami pastinya berbeza selepas bergelar ibu bapa.

“Sepanjang Ramadan, saya banyak menghabiskan masa di rumah walaupun terikat dengan banyak kerja di luar yang memerlukan komitmen daripada saya.

“Anak kami, Fatima kebetulan baru sahaja tumbuh gigi, jadi saya teruja layan karenah dia yang sejak akhir-akhir ini yang menjadi lebih manja dan mahukan perhatian.

“Suami pun walaupun terlibat dengan penggambaran sepanjang puasa, dia sentiasa cuba untuk balik berbuka puasa bersama saya di rumah,” ujar Fazura.

Menyentuh tentang persiapan raya, bintang Gol & Gincu itu berkata, meski teruja menyambut Syawal pertama bersama anak, dia masih mengutamakan kesederhanaan dalam apa sahaja dilakukan.

“Ini adalah raya pertama buat Fatima, jujurnya saya dan suami memang teruja nak raikan Syawal bersamanya.

“Bagaimanapun persiapan kami hanya biasa-biasa sahaja dan lebih kepada anak. Untuk kami sendiri, kalau ikutkan tak buat baju raya pun tak apa.

“Alhamdulillah rezeki Fatima bila kawan-kawan pereka fesyen saya pun teruja nak tengok dia beraya bila masing-masing ada buat baju untuk dia,” katanya.

Dalam pada itu, Fazura tidak menafikan dia sedikit terkilan apabila tidak dapat membawa Fatima pulang untuk beraya di kampungnya di Pekan, Pahang disebabkan larangan rentas negeri yang masih dikuatkuasakan berikutan pandemik Covid-19.

“Bila tak dapat balik kampung, memang agak terkilan juga kerana saya dan suami rancang nak bawa jumpa neneknya dan saudara-mara di kampung. Malah nenek sebelah bapa suami juga tidak sempat bertemu Fatima kerana baru sahaja meninggal baru-baru ini.

“Saya juga rindu nak ziarah kubur arwah ayah dan jalani rutin yang selalu kita lakukan, tetapi melihatkan keadaan sekarang saya rasa larangan rentas negeri itu adalah satu keputusan yang terbaik buat semua.

“Bagi saya dan suami, di manapun kami beraya, kami tetap gembira kerana ini adalah raya pertama diraikan bersama anak,” ujarnya.

Raikan anak yatim bersama Bata

Fazura dan Fattah ditemui pada majlis meraikan anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Cahaya Kasih di Bata, Suria KLCC, pada Rabu lalu.

Pada majlis tersebut, pasangan ini yang juga merupakan duta jenama Bata, menyantuni anak-anak yatim dengan menyampaikan kasut dan duit raya kepada 20 kanak-kanak yang juga penghuni rumah kebajikan tersebut.

“Alhamdulillah kami berdua sangat berbesar hati dapat meraikan anak-anak ini bersama Bata dengan sedikit sumbangan hari raya.

Iklan

“Saya bangga dapat bekerjasama dan menjadi duta kepada Bata, apatah lagi apabila jenama ini sangat bermurah hati untuk berkongsi rezeki melalui kerja-kerja amal seperti ini,” katanya.

Fattah yang senada dengan isterinya, menyifatkan jenama Bata mempunyai nilai sentimental kepada kebanyakan rakyat Malaysia termasuk dirinya sendiri.

“Sebagai duta, saya gembira bila dapat melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti amal yang diadakan oleh Bata terutamanya dalam menyantuni anak-anak yatim.

“Kalau ikutkan aktiviti ini sepatutnya diadakan apda tahun lepas, tapi disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, ia ditangguhkan sebelum dapat direalisasikan hari ini.

“Alhamdulillah rezeki buat anak-anak yatim ini untuk meraikan Aidilfitri dengan kasut baharu sumbangan Bata,” katanya.

Iklan

Mengulas kemenangannya menerusi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021 baru-baru ini, Fattah berkata, ia merupakan hasil kerja keras bersama pasukan produksi filem Mimaland.

“Alhamdulillah saya bersyukur atas kemenangan itu. Ia bukan kejayaan saya seorang, tetapi seluruh team produksi.

“Kemenangan ini juga adalah rezeki buat anak saya, Fatima,” katanya yang kini kembali sibuk di lokasi penggambaran, selain menjadi hos sebuah program realiti.

(FOTO: Zaki Ahmad – Bata)