KEMENANGAN lagu Pelukan Angkasa ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamuddin yang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada Ahad menepati ramalan ramai.

Meskipun lagu nyanyian kumpulan SOG dan Shila Amzah itu tidak begitu ‘mesra’ dalam kalangan penggemar muzik arus perdana, namun hakikatnya karya tersebut memiliki keunikan dan kelebihan yang tersendiri.

Ketua juri AJL36, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan, lagu tersebut tampil dengan kelainan yang menarik, sekali gus mampu memberi anjakan dalam industri muzik tanah air.

“SOG datang satu pakej yang bawa kelainan dalam muzik. Setiap anggota kumpulan memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam persembahan, ditambah pula dengan apa yang diberikan Shila Amzah.

“Kami menilai dari segala segi. Mereka memiliki semua elemen yang menjadi kriteria penting dalam sesebuah ciptaan lagu.

“Bukan sahaja melodi dan lirik, tetapi kreativiti, susunan muzik dan impak persembahan langsung di pentas itu turut membawa kepada kemenangan mereka yang sebulat suara dipilih oleh barisan juri,” jelasnya.

Mengulas tentang kemenangan kategori Vokal Terbaik pula, Mokhzani berkata, bukan mudah mereka membuat keputusan kerana berlaku saingan sengit antara Aina Abdul dan Marsha di mana masing-masing tampil dengan persembahan vokal yang sangat mantap dan memberikan impak.

“Kita menilai daripada semua sudut nyanyian. Kadang-kadang jeritan penonton itu tidak membantu penjurian. Sebagai juri, telinga kita lebih peka kepada teknik-teknik vokal.

“Saya juga bertuah kerana dapat seorang guru vokal dalam senarai barisan juri kali ini iaitu Datuk Syafinaz yang banyak membantu dalam mengenali pasti kelebihan dan kekurangan teknik nyanyian mereka.

Iklan

“Teknik vokal perlu dilihat dengan lebih meluas daripada sekadar melontarkan nyanyian di atas pentas. Tidak syak lagi hampir kesemua finalis sudah membuat persembahan terbaik. Misalnya Khai dan Aina Abdul adalah pasangan duet yang serasi, Harmoni mereka sangat serasi dan sampai ke jiwa.

“Namun apabila kita menilai daripada semua sudut, katageori Vokal Terbaik berpihak kepada Aina dengan sedikit lebihan markah daripada Marsha.

Pada malam kemuncak AJL36, Pelukan Angkasa selaku juara membawa pulang hadiah berupa hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi bersalut emas.

Iklan

Sementara itu kemenangan Aina untuk Vokal Terbaik pula melayakkan dirinya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 dan trofi.

AJL36 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada Ahad lalu dihoskan oleh Alif Satar dan Nabila Huda, manakala Sean Lee dan Sissy Imann mengendalikan acara karpet merah.

(FOTO: INSTAGRAM @anbstudio_bobong)