SETELAH perancangan konsert sulungnya yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun lalu dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19, penyanyi Khai Bahar akhirnya menarik nafas lega apabila impian itu bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Konsert anjuran syarikat rakaman Nova Music yang diberi nama Nafas Cinta Khai Bahar itu bakal berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, pada 12 Februari depan.

Mengakui teruja dengan perkembangan tersebut, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 27, itu berikrar untuk memberikan yang terbaik demi peminat.

“Apabila mendapat tawaran mengadakan konsert pada tahun lalu, saya melihat ia satu peluang keemasan. Bagaimanapun, perancangan ALLAH SWT itu lebih baik.

“Konsert tersebut terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu. Biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan, namun saya akur dan memandang ia dari sudut positif.

“Alhamdulillah selepas setahun, saya mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsert saya. Pelawaan itu saya anggap sebagai rezeki tahun baharu dan akan memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Luluh dan Durja itu menyifatkan penganjuran konsert itu juga bakal mengubat kerinduan dan kekecewaan peminatnya.

“Saya akui ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya sebelum ini dibatalkan.

“Saya sendiri tidak tahu mahu memberi reaksi macam mana kerana saya juga sedih. Apatah lagi apabila ramai peminat yang teruja menantikan persembahan tersebut.

“Jadi penganjuran konsert ini diharapkan dapat mengubat kesedihan mereka,” katanya.

Pelengkap kerjaya seni

Konsert Nafas Cinta Khai Bahar bakal diadakan secara hybrid fizikal dan virtual live. Ia membolehkan semua peminat Khai Bahar bukan sahaja dari Lembah Klang, tetapi juga dari seluruh Malaysia dan rantau Asia berpeluang menonton persembahan ini.

Iklan

Lebih menarik, konsert tersebut turut menampilkan Aina Abdul dan dan Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.

Dalam pada itu, Khai yang pernah tiga kali dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular sememangnya memasang impian untuk mengadakan persembahan berskala besar bagi melengkapkan profil kerjaya seninya.

“Biarpun lokasi persembahan kali ini tidak dapat memuatkan jumlah penonton yang ramai, sekurang-kurangnya impian saya untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai.

“Tipulah jika seseorang penyanyi itu tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seninya. Penganjuran konsert ini adalah satu daripada cita-cita saya yang belum tercapai.

Iklan

“Jadi doakan semoga segala perancangan dan persiapan untuk konsert ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

 

(FOTO: Nova Music)