Khai Bahar pilih lagu Tagalog, rakam semula Pano dalam versi bahasa Melayu
TERPIKAT dengan keindahan melodi dan cara penyampaian penyanyi asal sebuah lagu Tagalog berjudul Pano, Khai Bahar tidak menolak pelawaan untuk merakam kembali lagu tersebut dalam versi bahasa Melayu.
Apatah lagi, karya ciptaan sepenuhnya oleh Zack Tabudlo yang juga penyanyi lagu berkenaan pernah mencetuskan fenomena di Filipina, malah menular sehingga ke Malaysia membuatkan Khai yakin versi baharu dengan judul Bagaimana itu bakal mencuri tumpuan sama.
Lagu Bagaimana yang mendapat sentuhan daripada penerbit muzik, Johan John dan lirik oleh Shah Shamshiri itu menjalani rakaman di JK Music Vibe Studio, Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Khai mengakui sangat berbesar hati diberi kepercayaan menyanyikan semula lagu yang cukup ikonik itu.
“Keindahan lagu Pano terletak pada irama baladanya yang cukup mendayu. Tidak hairanlah lagu berkenaan amat popular sehingga mendapat tontonan lebih 104 juta di YouTube meskipun ia dalam bahasa Tagalog. Cukup mengagumkan.
“Saya sangat gembira apabila ditawarkan Universal Music Malaysia untuk bekerjasama dalam projek ini yang menyaksikan lagu Pano dinyanyikan semula dalam bahasa Melayu.
“Saya anggap ia sebagai satu peluang keemasan yang harus saya galas dengan sebaiknya, sekali gus memastikan versi Melayu ini sehebat karya asal,” ujarnya.
Berkongsi proses rakaman lagu terbabit, selebriti berusia 29 itu mengakui tidak berdepan sebarang masalah kerana sudah biasa mendengar lagu popular itu.
Situasi itu memberi banyak kelebihan pada Khai, malah berjaya melunaskan tanggungjawab itu dalam tempoh yang cukup singkat di studio rakaman.
“Alhamdullilah, rakaman vokal berjalan dengan sangat lancar dan hanya mengambil masa kurang dari sejam. Syukur sangat mudah,” katanya.
Mesej
Dalam masa sama, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Bayang itu berkata, pengalaman bekerjasama dengan Johan buat pertama kali cukup menyeronokkan.
“Bagi saya, penting untuk mendapatkan keserasian yang kuat setiap kali terbabit sesuatu projek. Walaupun pertama kali bergandingan dengan Johan, tidak susah untuk mendapatkan keserasian antara kami.
“Saya memuji corak kerjanya yang begitu teliti tapi pada masa sama tak memberi tekanan,” katanya.
Enggan dibayangi penyanyi dan lagu asal, Khai berharap versi nyanyiannya akan dinikmati sebagaimana pendengar sukakan Pano.
Begitu juga dengan muzik video (MV) lagu Bagaimana yang menjalani penggambaran di sebuah kedai buku di Shah Alam yang mempunyai jalan ceritanya tersendiri.
“Saya harap Bagaimana akan diterima baik seperti Pano serta didengar berulang kali di setiap platform penstriman muzik digital. Terus sokong dan minta lagu Bagaimana diputarkan di corong-corong radio,
“MV lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia. Saya sukakan konsepnya yang ringkas tanpa perlu elemen dramatik.
“Apa yang penting bagi saya adalah rasa dan mesej yang ingin disampaikan dalam lagu tersebut, sampai kepada penonton,” katanya.
(FOTO: UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang