SINONIM dengan gelaran pemuzik kreatif dan unik dalam memperjuangkan aliran muzik dibawa, Pitahati meneruskan misi mereka dengan menghasilkan sebuah single istimewa hasil kolaboratif bersama vokalis kumpulan blues terkenal, Ito Blues Gang.

Lagu berjudul Khatulistiwa yang pernah dipopularkan Blues Gang sekitar tahun 1983 itu diberi nafas baharu menerusi rakaman semula bersama Ito.

Pemilihan lagu tersebut dibuat Pitahati yang dianggotai oleh Yasin, Masrin, Ilham, Zahar dan Hidayat itu kerana auranya mampu menyatu padukan masyarakat.

Menurut, Ilham, mereka melakukan sedikit perubahan dengan menyusun kembali muzik dan liriknya mengikut peredaran zaman.

“Saya bersama rakan-rakan lain mendapat persetujuan daripada Pak Ito untuk membuat sedikit gubahan pada lirik dan lagu itu bagi mencantikkan maksudnya sesuai situasi zaman kini.

“Antara bait-bait lirik yang diperbaharui adalah Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban… bersatu hati.

“Waktu menyanyikan semula lagu ini, kami tidak mahu hilangkan keaslian karya asalnya. Kalau banyak perubahan, ia akan membuatkan lagu ini jadi berbeza,” ujarnya.

Sementara itu, Ito yang merupakan penyanyi asal lagu Khatuliswa menyifatkan gubahan lirik dilakukan itu kedengaran lebih sempurna.

“Pitahati dan saya bersetuju untuk mengubah bait lirik itu kerana ia kedengaran lebih sempurna.

“Rakaman lagu ini tidak mengambil masa lama dan kami serasi bekerjasama dengan berbekalkan semangat sama dan mempunyai impian menyatu padukan masyarakat dengan seni muzik.

“Saya amat berbesar hati dan berharap lagu versi baharu ini boleh memberi semangat buat kali kedua kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Ito.

Iklan
Pitahati dan Ito Blues Gang berkongsi semangat sama dalam muzik.

Single Khatulistiwa yang dilancarkan pada sambutan Hari Malaysia baru-baru ini juga merupakan satu bentuk penghormatan Pitahati untuk kumpulan legenda Blues Gang.

“Bermula dengan mengumpulkan playlist lagu daripada kugiran-kugiran tempatan yang menjadi inspirasi karya Pitahati, kami kemudiannya terdetik menjadikan lagu Blues Gang ini sebagai sebuah lagu cover dalam persembahan.

“Tidak sangka ia menjadi malar segar, di mana selepas percubaan itu Khatuliswa menjadi permintaan dan bualan peminat kami.

“Kolaboratif ini adalah satu kesempatan buat Pitahati memberi penghormatan kepada Blues Gang,” kata Ilham.

Iklan

Lebih istimewa, penggambaran muzik video lagu tersebut dijalankan di Ipoh, Perak, berkonsepkan santai dan berinspirasikan tema kehidupan masyarakat berbilang bangsa.

Penggambaran selama tiga hari itu membawa mereka ke kawasan-kawasan santai seperti di Old Town Ipoh, Stesen Keretapi, Pasar Loken, Restoran New Hollywood, Super Kinta, Stesen Bas Medan Kid dan lain-lain.

Pitahati juga berkongsi proses belakang tabir rakaman dan pembikinan muzik video lagu Khatulistiwa menerusi sebuah sesi bual bicara yang dinamakan sebagai Bicara & Susun Kata yang dimuat naik di saluran YouTube mereka.