Khodi, B-Heart salur emosi dalam lagu
KISAH turun naik dalam hal percintaan tidak dinafikan acap kali menjadi pilihan untuk diketengahkan dalam sesebuah lagu.
Apatah lagi acuan itu sentiasa mencetuskan emosi tersendiri, lebih-lebih lagi apabila bait liriknya dekat dengan pendengar.
Justeru penyanyi baharu, Khodi dan B-Heart memilih laluan sama untuk menyalurkan emosi kepincangan cinta dalam lagu duet mereka, Tak Mahu.
Berkongsi lanjut mengenainya, Khodi atau nama sebenarnya Seri Khodijah Kamarul Bahrin berkata, Tak Mahu adalah sorotan perjalanan cinta pasangan kekasih yang berdepan kepincangan dalam menyelamatkan hubungan mereka.
“Lagu ini menceritakan mengenai pasangan yang menyesal berada dalam perhubungan mereka. Pelbagai dugaan dihadapi dan keduanya tidak mahu meneruskan lagi percintaan itu.
“Harapan saya, lagu ini mampu menyentuh hati pendengar selain boleh kaitkan kisah mereka dengan situasi pasangan dalam cerita ini,” kata gadis berusia 20 tahun itu.
Lebih banyak menghasilkan lagu solo sebelum ini, Khodi juga amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan rakan artis lain.
“Saya suka apabila dapat berkolaboratif bersama B-Heart. Sudah lama kami berkenalan dan lagu ini akhirnya menjadi projek sulung kami,” katanya.
Dalam pada itu, B-Heart atau nama penuhnya Hairi Azrie Henri, 25, berkata, proses penghasilan Tak Mahu juga cukup mudah berbanding pengalamannya sebelum ini merakamkan lagu sendiri.
“Proses rakaman lagu ini daripada pihak saya secara jujur tidak sesukar rakaman lagu yang saya pernah lalui.
“Namun sedikit sulit adalah mendapatkan inspirasi. Contohnya, bagaimana untuk meluahkan secara tulus serta tidak kompleks untuk cuba faham,”jelasnya.
Tak Mahu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang